Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Ucapan menyentuh hati Tawfiq Abu Bakar Titingan

TAWAU: “Setiap malam, saya tak boleh tidur kerana ingat janji kepada penduduk Kampung Titingan untuk beri sumbangan RM1,000 kepada setiap ketua keluarga yang terbabit kebakaran, 5 September lalu.

“Saya bimbang jika terus pejamkan mata (meninggal dunia) tanpa menunaikan janji. Sebab itu, hari ini saya datang walaupun dalam keadaan sakit”.

Demikian kata Ahli Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan dalam ucapannya pada majlis penyampaian sumbangan peribadi beliau itu di Balai Raya Kampung Titingan di sini, hari ini.

Ucapan beliau menyentuh perasaan sebahagian besar hadirin dengan ada antaranya tidak dapat menahan sebak hingga menitiskan air mata.

Menteri Belia dan Sukan Sabah itu yang sebelum ini berehat lebih lapan bulan kerana penyakit yang dirahsiakan dan menerima rawatan di Kuala Lumpur, tiba di majlis berkenaan dengan dipimpin menaiki pentas, selain turut kelihatan cengkung.

Tawfiq berkata, beliau sedih kerana tidak dapat bertemu rakyat dalam tempoh lama, namun menguatkan semangat untuk turun padang buat kali pertama.

“Lapan bulan tidak bersama warga Tawau terutama penduduk Kampung Titingan tetapi rasa macam lapan tahun tak bertemu. Terlalu lama saya memendam rasa untuk turun (bertemu rakyat) tetapi tidak dibenarkan oleh doktor.

“Saya gagahkan juga untuk datang berjumpa penduduk kampung yang pernah saya janji untuk beri bantuan. Saya datang bukan atas Tawfiq, tetapi kerana UMNO dan Barisan Nasional (BN), saya gagahi juga,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Ketua Pemuda UMNO Tawau, Ariffin Kassim.

Pada majlis itu, Tawfiq menyampaikan sumbangan kepada 85 ketua keluarga mangsa kebakaran, selain 307 keluarga menerima sumbangan zink untuk memperbaiki rumah, seorang penduduk menerima kerusi roda dan 330 lagi menerima bantuan asas.

Dalam majlis itu, beliau juga memohon maaf kepada penduduk Kampung Titingan kerana tidak dapat menunaikan tugas sebagai pemimpin di kawasan itu selama lapan bulan.

“Saya rasa amat bersalah dan memohon semua penduduk memaafkan saya, bukan tidak mahu berkhidmat, tetapi keadaan tak mengizinkan.

“Saya mungkin akan berada di hospital dua hingga tiga bulan lagi. Siapa pun jadi calon (pilihan raya) berikan sokongan.

“Individu tidak penting, yang penting BN perlu kita pastikan meneruskan kesinambungan pentadbirannya di Malaysia. Saya mohon semua mendoakan kesihatan saya supaya cepat sembuh,” katanya. – BH ONLINE

TAWFIQ (tengah) menyampaikan bantuan kerusi roda kepada seorang penduduk Kampung Titingan yang terbabit dalam kebakaran pada 5 September tahun lalu pada Majlis Penyampaian Sumbangan di Tawau. – Foto Nasrawati Syarifuddin

Komen


Berita Berkaitan