Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Ubat Untuk Da’ie Yang Kecewa

Gambar Hiasan

 

“Frust ana dengan masyarakat sekarang akhi. Rosak. Bila kita nasihat, kita pula dimakinya.”

“Kebejatan sosial dan terlalu pekat sekarang. Media massa kita pun tak membantu. Islamnya campur-campur dengan batil. Kerja dakwah kita takkan ke mana-mana!”

“Jahiliyyah dah menang akhi, mereka ada macam-macam, televisyen, radio, selebriti, apps merepek mudah akses. Orang ramai pula mudah tertarik benda-benda lagha. Kita ni tunggu kiamat sahajalah.”

“Rasa macam nak doakan aja biar Allah turunkan bala, bagi sedar sikit masyarakat sekarang ni.”

Demikianlah kadangkala kedengaran rintihan daripada beberapa pendakwah. Mereka bukanlah orang yang malas. Mereka ialah yang telah bersungguh-sungguh berdakwah, dengan pelbagai jenis usaha dan saluran. Mereka ini bukan acah-acah pendakwah, bukan juga pendakwah yang diberikan title da’ie oleh stesen-stesen televisyen yang turut menyiarkan perkara-perkara membelakangkan syariat, mereka bukan pendakwah selebriti yang banyak mengikuti arus kesukaan masyarakat.

Mereka ialah pendakwah ikhlas, berdisiplin, ada prinsip. Namun mereka juga ialah manusia. Sudah pasti berperasaan, dan adakalanya perasaan itu ialah kesedihan apabila dakwah tidak bersambut, kemarahan apabila melihat persaingan dari sisi jahiliyyah telah memenangi hati ummat, kekecewaan kerana mereka tahu akhirnya kerosakan masyarakat ini sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada keluarga dan keturunan mereka kelak sekiranya tidak berjaya dibendung.

Sebagai anak muda yang tidaklah hebat sangat di medan dakwah, teringat saya akan satu kisah, yang pada saya menjadi ubat kepada pendakwah. Untuk saya sendiri saat rasa kecewa dan memikirkan usaha dakwah tidak sampai ke mana-mana, saya suka mengulang kisah ini.

Kisah Yunus ‘alaihissalam.

 

Yunus Meninggalkan Kaumnya Dalam Keadaan Marah

Kisah Yunus AS unik. Sekiranya para nabi dan rasul lain dikisahkan di dalam Al-Quran sebagai sabar dan teguh dengan urusan dakwah mereka, Yunus AS pula dikisahkan sebagai seorang nabi yang kecewa dengan keadaan kaumnya.

Setelah berdakwah untuk sekian waktu, dan kaumnya masih menolak seruan Yunus AS, Yunus AS telah mengingatkan mereka akan bala dan azab siksa daripada Allah SWT. Kedegilan kaum Yunus AS sangat tinggi sehingga mereka mencabar Yunus AS membuktikan kewujudan azab tersebut.

Marah dengan sikap kaumnya, Yunus AS bertindak meninggalkan mereka untuk menerima azab Allah walaupun Allah SWT sendiri belum lagi memberikan arahan kepada Yunus AS untuk meninggalkan mereka.

Ini direkodkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran, Surah Al-Anbiya’ ayat 87:

“Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah.”

Tindakan Nabi Yunus itu membuatkan Allah SWT menguji beliau. Nabi Yunus dilemparkan dari kapal, dan kemudian ditelan ikan besar.

“Dan sesungguhnya Nabi Yunus adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus. (Ingatkanlah peristiwa) ketika dia melarikan diri ke kapal yang penuh sarat. (Dengan satu keadaan yang memaksa) maka dia pun turut mengundi, lalu menjadilah dia dari orang-orang yang kalah yang digelunsurkan (ke laut). Setelah itu dia ditelan oleh ikan besar, sedang dia berhak ditempelak.” Surah As-Saffat ayat 139-142.

Di sini jelas, Allah SWT tidak gemar dengan golongan yang berputus asa. Termasuklah berputus asa di atas jalan dakwah. Yunus AS telah meninggalkan kaumnya sebelum tiba masa yang sepatutnya. Allah SWT belum memberikannya arahan, Yunus AS sudah pergi, dalam keadaan marah dan mengharap kaumnya diazab Allah.

Allah menghukum Yunus AS.

Memberikannya pengajaran.

 

Taubat Seorang Yunus

Yunus AS tidak lama di dalam perut ikan besar tersebut. Walaupun masyhur ada yang menyatakan bahawa Nabi Yunus berada di dalam ikan besar itu selama 40 hari, tetapi mengikut ilmu sains, tubuh ikan paus penuh dengan asid yang berkali ganda lebih hebat berbanding asid pencernaan di dalam tubuh manusia. Tambahan pula, di dalam tubuh ikan paus, tidak punya oksigen yang cukup untuk seorang manusia hidup lama di dalamnya. Ini bukan cerita Pinochio di mana bapanya Gepetto boleh hidup lama di dalam perut ikan paus, siap buat unggun api di dalamnya.

Namun sebaik sahaja Yunus AS berada di dalam perut ikan paus, dia menyedari bahawa dia sedang dihukum oleh Allah SWT. Lantas dia beristighfar dan bertaubat, menyesali kesilapannya.

“maka dia(Yunus) pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: Sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Engkau! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” Surah Al-Anbiya’ ayat 87.

Allah terus menyelamatkan Yunus AS, membawa ikan paus tersebut ke tepi pantai dan memuntahkan kembali dirinya.

“Maka kalaulah ia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih), Tentulah ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur. Oleh itu Kami campakkan dia keluar (dari perut ikan) ke tanah yang tandus (di tepi pantai), sedang ia berkeadaan sakit.” Surah As-Saffat ayat 143-145.

Yunus AS kemudian diutuskan semula kepada kaumnya, meneruskan kembali dakwah, dan balasan Allah SWT kepada Yunus AS atas taubat dan kesedarannya, Allah mengizinkan kaumnya di Ninawa itu mendapat cahaya keimanan.

“Dan (Nabi Yunus yang tersebut kisahnya itu) Kami utuskan kepada (kaumnya yang seramai) seratus ribu atau lebih. (Setelah berlaku apa yang berlaku) maka mereka pun beriman, lalu Kami biarkan mereka menikmati kesenangan hidup hingga ke suatu masa (yang ditetapkan bagi masing-masing).” Surah As-Saffat ayat 147-148.

 

Refleksi Kepada Pendakwah Ummat Akhir Zaman

Kisah Yunus AS menunjukkan beberapa perkara kepada para pendakwah.

  1. Tidak berputus asa di atas jalan dakwah. Allah tidak suka orang yang berputus asa.
  2. Tidak terlalu cepat mengharapkan azab kepada ummat. Tugas seorang da’ie itu menyeru, bukan menjatuhkan hukum.
  3. Kesabaran akan diganjari. Sama ada dalam bentuk dakwah itu berjaya, atau paling tidak pun, dalam bentuk pahala dan ganjaran syurga daripada Allah SWT untuk pendakwah itu sendiri.

 

Rasulullah SAW sendiri ada bersabda:

“Jika ada seseorang berkata: Ramai orang telah rosak. Maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka.”Hadith Riwayat Muslim.

Bukanlah bermakna kita dilarang dari menyebut, menganalisa, membuat kesimpulan akan realiti semasa. Sekiranya masyarakat telah hanyut dengan hedonisme melampau, media massa dan media sosial terlalu banyak unsur negatif dan membawa masyarakat jauh dari nilai-nilai Islam, kes zina, rogol, rompak, bunuh, penyalah gunaan dadah, anak luar nikah meningkat mencanak-canak, takkan kita tak boleh nak simpulkan bahawa masyarakat sedang rosak? Pastilah boleh.

Namun pengajaran daripada hadith Rasulullah SAW itu ialah, melarang kita menganggap ummat ini tidak lagi boleh diselamatkan. Mereka patut diabaikan. Dakwah patut dihentikan, kerana tidak lagi bermakna menyeru orang ramai yang telah rosak ini.

Orang itulah yang paling rosak, kerana telah memutuskan harapan ummat.

Kewujudan insan yang masih sanggup menegakkan kebenaran, menyeru ke arah kebaikan, ialah tali hayat ummat untuk mencari jalan pulang.

Rasulullah SAW sendiri diutus di tengah masyarakat yang rosak. Ajaran hanifiyah tinggal Ibarahim AS hampir sahaja tidak ada bekas di tengah masyarakat jahiliyyah Arab. Rasulullah SAW membesar di tengah masyarakat penyembah berhala, masyarakat arak dan zina. Sekiranya Rasulullah SAW sekadar membuat kesimpulan: “Masyarakat telah rosak, buat apa lagi nak dakwah.” Sudah pasti Islam tidak sampai pun kepada kita sekarang!

Kisah Yunus AS turun bukan di zaman kita. Al-Quran turun di zaman Rasulullah SAW. Bermakna, kisah Yunus AS menjadi salah satu kisah yang memperkasa semangat dan kesungguhan Rasulullah SAW, untuk tidak berputus asa, untuk tidak meninggalkan kaumnya.

Ya, Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, tetapi bukan dalam rangka melarikan diri dari amanah dakwah. Namun dalam rangka strategis, membina kekuatan besar, membina negara, seterusnya bila sampai masa, baginda membuka kembali Makkah dengan Islam, sehingga kemudian berbondong-bondong masyarakat di jazirah arab memeluk Islam.

Demikianlah kita kembali kepada Kisah Yunus, mengutip pengajaran.

 

Masyarakat Sedang Tenat, Tetapi Kita Jangan Kecewa

Sesungguhnya pintu taubat itu sentiasa terbuka sehinggalah berlakunya salah satu dari dua perkara.

  1. Tibanya ajal.
  2. Terbitnya matahari dari barat.

Maka selagi dua perkara itu tidak berlaku ke atas diri seseorang atau ke atas masyarakat, seorang da’ie tidak perlu pantas merasa kecewa dan ingin menghentikan dakwahnya.

Jalan dakwah sememangnya tidak mudah, tidak populis, tidak dijanjikan dengan harta dan pengikut yang ramai sebenarnya. Ianya ialah jalan yang ditaburi duri-duri terpacak!

Inilah jalan yang ditempuh para Nabi dan Rasul. Bukan jalan yang ditempuhi watak-watak remeh. Maka untuk menjanjikan diri mampu istiqomah, perlulah seorang da’ie sentiasa mengikhlaskan dirinya, perlulah juga seorang da’ie itu berkumpul dengan orang-orang yang punya matlamat yang sama dengannya, agar mampu saling memperkasa sesama mereka. Sebagaimana Rasulullah SAW menggabungkan dirinya dengan Abu Bakr, dengan Abdurrahman bin Auf, dengan Uthman ibn Affan, dengan Ali Ibn Abi Talib, dengan Umar Al-Khattab, dengan para sahabat baginda seluruhnya.

Masyarakat memang sedang tenat. Di sinilah tambah lebihnya keperluan kepada pendakwah yang jujur dan ikhlas, yang punya prinsip dan disiplin. Kemunculan para pendakwah palsu yang hanya mengejar populariti, yang mengenakan busana Islamik semata-mata kerana market dan trend, tambah menjadikan kewujudan pendakwah-pendakwah yang jujur itu wajib dan perlu. Untuk terus mengangkat kebenaran, walaupun mungkin tidak disambut ramai.

Tetapi, dengan kewujudan pendakwah yang tidak berputus asa, bermakna cahaya kebenaran itu tidak akan malap, dan sudah pasti akan ada yang menerima manfaatnya. Tidak ramai, sedikit pun jadilah.

Kerana itu pendakwah jangan cepat kecewa.

Kita hanyalah mata rantai yang menyambung perjuangan yang panjang ini.

Urusan dakwah ini tidak bermula daripada kita dan tidak akan berakhir dengan kita. Tugas kita ialah memastikan penerusannya. Dengan kesungguhan dan kecekalan.

 

Penutup: Kehidupan Ini Terlalu Sementara Untuk Kekecewaan.

Kehidupan ini terlalu pendek. Jika kita renungi perjalanan hidup Nabi Nuh AS, yang istiqomah berdakwah selama 950 tahun, satu tempoh yang tidak pendek. Tetapi bagaimana baginda mampu mengusahakannya?

Kerana apabila dibandingkan 950 tahun dengan akhirat yang berdurasi selama-lamanya, apalah sangat 950 tahun itu. Ibarat titik kecil di tepi selama-lamanya. Kerana itu, Nuh AS tidak berputus asa di dalam dakwah baginda. 950 tahun, bukan 950 jam atau 950 hari.

Kehidupan terlalu sementara untuk kita isi dengan kekecewaan dakwah. Masa terlalu sempit untuk kita lewatkan pergerakan dakwah kita dengan kesedihan dan putus asa.

Bangkit. Pujuklah diri.

Ada sebab mengapa di dalam Al-Quran banyak diturunkan kisah-kisah para nabi terdahulu. Ianya untuk memotivasikan Rasulullah SAW dan para sahabat, yang turut mendapat pelbagai dugaan dan cabaran di era mereka melaksanakan dakwah.

Demikianlah kemudiannya kita, kembali kepada kisah-kisah tersebut meneguk makna.

Mengambilnya sebagai ubat, merawat kekecewaan dan putus asa kita.

Perjalanan mesti diteruskan.

Muhasabah.

(Sumber: LangitIlahi.com oleh Hilal Asyraf)

Komen


Berita Berkaitan