Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Ubah Pemikiranmu & Berbahagialah!

Gambar Hiasan

 

Ramai manusia, mereka tercari-cari dimana bahagia. Hilangnya rasa bahagia itu kadangkala hanya kerana prasangka, rasa tidak puas hati dan rasa tidak cukup dengan apa yang sudah dimiliki. Sedangkan, jika diubah pemikiran dan sikap itu, bahagia itu tersangatlah dekat dengan diri mereka.

 

Syukuri Nikmat Akal

Jasad, rohani dan emosi yang diciptakan Allah SWT menjadikan manusia sebagai struktur ciptaan yang paling sempurna. Firman Allah SWT ;

Sungguh, Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.” (At-Tin: 4)

Jika kita mengakui bahawa kita ini telah dipilih oleh Allah SWT sebagai makhluk terbaik, sepatutnya kita langsung tidak mempersiakannya. Akal adalah satu ‘utusan’ yang cukup unik. Dengan akal, kita mendalami ilmu pengetahuan, menjadikan ia sebagai neraca melakukan amal baik mahupun buruk.

Tanpa akal, manusia mungkin setaraf dengan makhluk-makhluk lain yang tidak memiliki nikmat itu. Justeru, mana-mana manusia yang mensyukuri dan menggunakan nikmat akal ini sebaiknya, dengan izin-Nya, dia akan meraih bahagia.

 

Bahagia Dan Pemikiran

Apabila Allah SWT menguji kita dengan sesuatu, disitu kita akan dapat lihat peranan akal pemikiran dalam menentukan siapa diri kita. Sebagai contoh, apabila Allah SWT menguji kita dengan kekurangan wang untuk berbelanja, impian kita tak tercapai, mahupun kita kehilangan sesuatu yang kita sayang. Manusia yang optimis dan positif, dia tidak menyalahkan takdir yang menimpa. Daripada kesusahan itu, dia yakin, usaha akan membawanya keluar daripada masalah.

Akhirnya, walau dalam kesempitan itu, hatinya lapang, redha disamping terus menerus berusaha untuk menampung kekurangan.

Kepercayaan, keyakinan itu dibina daripada jiwa dan fikiran yang positif dan bersangka baik dengan Allah SWT.

Boleh jadi kamu membenci sesuatu, Padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216).

 

Kembalilah Kepada Allah

Dalam sebuah hadis qudsi, Rasulullah SAW bersabda,

Allah berfirman: Sesungguhnya apa-apa yang akan Aku lakukan terhadap hamba-Ku adalah mengikut sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia mengingati-Ku. (Riwayat Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dan lain-lain).

Kesemua elemen positif akan secara automatik hadir dalam diri kita apabila kita sentiasa berfikiran positif. Lihatlah hadis Rasulullah SAW di atas, bukankah itu satu motivasi untuk kita terus berfikiran positif? Allah sendiri akan mengikut sangkaan kita terhadap-Nya. Jika setiap ujian, masalah, masa lapang mahupun sempit kita hadirkan prasangka yang baik dan positif, Allah akan sentiasa ada untuk membantu.

Oleh itu, apa jua yang berlaku dalam hidup kita, kembalilah kepada Allah dan sentiasalah berfikiran positif, sepertimana yang diajar Rasulullah SAW ;

Rasulullah bersabda: “Sungguh ajaib keadaan orang yang beriman, sesungguhnya semua urusan mereka berada dalam keadaan baik. Dan tiada yang memperoleh keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja. Sekiranya dia dianugerahkan dengan sesuatu nikmat, dia akan bersyukur. Maka jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya.” (Riwayat Muslim)

Mari sama-sama kita ubah cara pemikiran kita.

Sentiasa positif dalam apa jua, dan bersangka baik dengan apa yang menimpa.

Keajaiban akan kita rasa, tatkala kita ditimpa musibah, jiwa kita akan bersabar dan tenang.

Diberi nikmat pula sentiasa bersyukur.

Itulah bahagia yang kita cari selama ini sebenarnya.

(Sumber: LangitIlahi.com oleh Asyraf Alpandi)

Komen


Berita Berkaitan