Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,653

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

TYT gesa umat Islam tangani Islamophobia

10:39am 26/01/2016 Ann Vivien 26 views Politik,Tempatan

tyt

PERLAGAAN dan permusuhan yang didorong oleh tali persaudaraan yang mengendur dan kebencian sesama sendiri dalam kalangan umat Islam telah diambil kesempatan oleh pihak-pihak ketiga untuk menghancurkan mereka. Iraq, Libya, Syria menjadi bukti daripada permasalahan ini. Beberapa buah lagi negara Islam yang lain seperti Mesir dan Yemen serta Arab Saudi sedang berhadapan dengan konflik yang semakin mencemaskan. Itu yang dapat disorot kembali berikutan peringatan-peringatan Yang diPertua Negeri Sabah, Tun Haji Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman ketika berucap di perhimpunan sembutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang di adakan di Sipitang Khamis lalu.

Negara-negara tersebut adalah negara-negara yang mempunyai majoriti penduduk Islam yang kaya khazanah dan ilmu. Tetapi akibat pergeseran dalaman maka mereka telah berjaya dipecahbelahkan melalui penyebaran fitnah yang terancang yang memuncak kepada peperangan. Oleh kerana ada yang dalam kalangan mereka tertekan dan terdesak akhirnya berjihad tetapi yang membunuh dan dibunuh adalah sesama Islam itu sendiri yang samasekali diharamkan dalam Islam. Konsekuannya kelompok Barat membenci Islam sehingga terciptalah Islamophobia. Individu-individu Islam di Barat terpaksa berhadapan dengan penghinaan dan ancaman. Tidur mereka sudah tidak lena. Pergerakan mereka kini tersekat.

Apa jalan keluar umat Islam dalam menghadapi ancaman ini? Dalam konteks ini Yang diPertua Negeri, Tun Haji Juhar Mahiruddin mengajak umat Islam khususnya di Sabah agar menangani  isu Islamophobia dengan umat Islam kembali kepada ajar Islam yang sebenar seperti yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW.

Beliau juga mengingatkan adalah menjadi kewajiban setiap muslim membetulkan sebarang persepsi atau kefahaman yang salah terhadap agama ini.

Kalau itulah musibah yang dihadapi oleh umat yang hampir 100 peratus Islam di negara-negara berkenaan apakah jaminan yang dapat dipegang oleh rakyat di negeri dan negara ini yang majoriti umat Islam bukan satu jumlah yang mutlak dan dominan?

Akhir-akhir ini provokasi terhadap umat islam di sini sudah mula meresap. Tetapi kita lupa bahawa mereka yang suka bermain api kelak turut sama terbakar sendiri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman, mengingatkan pada perhimpunan tersebut akan nasihat Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim bahawa, ” saudara sekalian jangan saling benci-membenci, dengki-mendengki, saling tidak menghiraukan dan memutuskan hubungan. Saudara sekalian jadilah hamba-hamba Allah SWT yang bersaudara.”

Musa juga mengingatkan Rasulullah SAW tidak pernah menolak kemajuan dan pembangunan kerana ia merupakan fitrah manusia.

Ini kerana, menurut beliau lagi, kemajuan yang dianjurkan mengukukuhkan lagi akidah dan amalan ibadah yang lebih luas seperti yang Baginda SAW anjurkan. Tertubuhnya negara Islam Madinah yang pertama menjadi contoh yang gilang-gemilang dalam sejarah.

Oleh kerana itu, kerajaan yang ada sekarang komited dalam memacu pembangunan di negeri ini untuk mensejahtera dan memakmurkan rakyat seperti mana yang sedang berlaku di Sipitang, antaranya,  projek Pembangunan Sabah Ammonia Urea (SAMUR) dan projek Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang.

Ternyata projek-projek seperti ini, tambah Musa, memberi impak positif dari segi peluang pekerjaan dan mengwujudkan industri-industri sampingan yang berkaitan. Pelbagai projek berimpak tinggi juga sedang dilaksanakan di seluruh Sabah.

Ketua Menteri juga menekankan kepentingan perpaduan dan kesefahaman dalam kalangan rakyat berbilang kaum, budaya dan agama yang menjadi teras kepada masa depan negeri ini. – Sumber SuaraBenar

 

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan