Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

TVET MAMPU LAHIRKAN TENAGA MAHIR IR4.0

Jenifer menyampaikan sijil kepada seorang pelajar dalam Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Ke-3 2018 Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di Dewan Kebudayaan Penampang Sabah. – Gambar SNT / Ehsan Kementerian Pelajaran dan Inovasi

PENAMPANG: Kementerian Pendidikan harus bersiap sedia mendepani cabaran revolusi perindustrian keempat (4.0) khususnya dalam menyediakan negara dengan tenaga kerja mahir dan terlatih dalam mengendalikan teknologi moden.

Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr. Yusof Yacob berkata, keupayaan negara dalam melahirkan modal insan berkemahiran menguasai industri 4.0 mampu menarik ramai pelaburan asing khususnya ke negeri ini.

Menurutnya, ekonomi Malaysia akan berdepan dengan kesukaran sekiranya negara tidak membuat persediaan di peringkat awal seperti mana dilakukan oleh beberapa buah negara maju.

“Sehubungan itu, kerajaan akan merangka dasar nasional dan pelan tindakan mengenai industri 4.0. Justeru sebagai pendukung transformasi pendidikan teknik dan vokasional, Kementerian Pendidikan khususnya Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) haruslah bersiap sedia menghadapinya.

“Meskipun kita telah menjalankan pelbagai transformasi dalam dunia pendidikan seperti Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET, dunia tidak pernah berhenti daripada mengalami revolusi dalam pelbagai dimensi, sebab itu kita perlu bersedia,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Ke-3 2018 Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di Dewan Kebudayaan Penampang Sabah, di sini.

Teks ucapan Dr. Yusof dibacakan oleh Pembantu Menterinya, Jenifer Lasimbang.

Dr. Yusof berkata, kerajaan negeri juga yakin terhadap kemampuan pihak pengurusan BPTV dan warga kolej vokasional untuk melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi dan mempunyai ketrampilan diri.

Katanya lagi, agenda ekonomi yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kesebelasan (RMK-11) menjangkakan akan wujud 1.5 juta peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor dengan sasaran sebanyak 60 peratus daripada pekerjaan tersebut memerlukan kemahiran berkaitan TVET.

Menyedari keperluan tersebut, beliau menambah kementerian telah merangka dan melaksanakn Pelan Transformasi PEndidikan Vokasional mulai 2012 dan diperhebat apabila diletakkan menjadi salah satu Aspirasi Sistem iaitu askses kepada pendidikan berkualiti dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Katanya, program PPPM meliputi pengenalan Pendidikan Asas Vokasional (PAV) dan menarik taraf sekolah menengah vokasional kepada Kolej Vokasional

“Beberapa langkah lagi telah pun diambil iaitu menaik taraf Mata Pelajaran Vokasional (MPV) di 269 buah sekolah menengah yang terpilih melaksanakan MPV pada 2016. KPM juga bekerja dengan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS),” katanya.

Dr. Yusof berkata, cabaran negara hari ini bukan sahaja untuk mencapai sasaran pengambilan pekerja mahir, sebaliknya bagaimana menyediakan tenaga kerja mahir serta maklum balas daripada pihak industri juga perlu diambil kira. – SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan