Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,815

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Turki tembak jatuh jet Russia

11:21am 25/11/2015 Pak Roshan 8 views Global
GAMBAR menunjukkan jet Russia terbakar sebelum terhempas di sempadan Turki-Russia, semalam.

GAMBAR menunjukkan jet Russia terbakar sebelum terhempas di sempadan Turki-Russia, semalam.

Ankara: Turki semalam menembak jatuh sebuah pesawat perang Russia, mendakwa ia mencabuli ruang angkasanya dan tidak mengendahkan kira-kira 10 amaran yang diberikan.

Russia menafikan pesawat itu menyeberang sempadan Syria untuk memasuki ruang udara Turki.

“Kami masih meneliti punca jet pengebom itu terhempas. Kami ingin menegaskan pesawat itu berada di wilayah Syria sepanjang penerbangannya,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan Russia.

Moscow berkata, pesawat Su-24 itu terhempas akibat terkena tembakan meriam. Bagaimanapun, Ankara mendakwa pesawat F-16nya menembak pesawat itu selepas ia tidak mengendahkan amaran.

Moscow juga berkata, dua juruterbang pesawat itu terjun menggunakan payung terjun, tetapi sudah terputus hubungan dengan mereka.

Pesawat pengebom Russia terbabit dalam kempen serangan udara terhadap penentang rejim di Syria sejak 30 September lalu dalam usaha untuk membantu mengukuhkan Presiden Bashar al-Assad.

Rakaman video menunjukkan sebuah pesawat terbakar sebelum terhempas di sebuah bukit dan dua juruterbang dilihat berjaya terjun dengan selamat.

Namun, jurucakap sebuah kumpulan penentang rejim Bashar, Jahed Ahmad berkata, pejuangnya menembak juruterbang Russia ketika mereka masih di udara, menyebabkan seorang daripadanya mati.

Kumpulan berkenaan menyiarkan video menunjukkan sekumpulan lelaki bersenjata mengelilingi seorang lelaki berambut perang, lengkap dengan pakaian juruterbang dan kelihatan mati.

Nasib juruterbang kedua tidak diketahui.

“Tindakan tentera Turki tidak ditujukan kepada mana-mana negara secara khusus. Jet pejuang F-16 kami mengambil tindakan sewajarnya bagi mempertahankan kedaulatan wilayah kami,” kata seorang pegawai Turki menerusi e-mel.

Menurutnya, pesawat Russia itu diberi amaran pertama selepas ia berada dalam lingkungan 15 kilometer dari sempadan Turki sebelum ia menyeberang memasuki ruang angkasa negara itu di bandar Yayladagi di wilayah Hatary.

“Pada 24 November 2015, sekitar jam 9.20 pagi (waktu tempatan), sebuah pesawat tidak dikenali mencabuli ruang angkasa Turki walaupun selepas diberi beberapa amaran (10 kali dalam masa lima minit) di kawasan
Yayladagi, Hatary.”

“Dua pesawat F-16 yang bertugas meronda kawasan berkenaan menembak pesawat terbabit, ” kata tentera Turki sebelum negara asal pesawat itu disahkan.

Bulan lalu, Turki menembak jatuh sebuah dron yang tidak dikenali selepas ia menceroboh ruang udaranya.- Agensi/HMetro

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan