Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Turki bertindak

KERETA kebal Turki mengawal sempadan di Syria selepas Ankara menghantar jet pejuang menyasarkan tiga lokasi IS.
KERETA kebal Turki mengawal sempadan di Syria selepas Ankara menghantar jet pejuang menyasarkan tiga lokasi IS.

Ankara: Jet pejuang Turki menyasarkan Negara Islam (IS) di sempadan Syria semalam, sehari selepas kumpulan militan itu menembak pos kawalan yang mengakibatkan seorang askar terbunuh.

Turki sebelum ini teragak-agak untuk menyertai serangan tentera diketuai Amerika Syarikat (AS) terhadap kumpulan pelampau itu, namun awal pagi semalam tiga jet F-16 berlepas dari pangkalan udara Diyarbakir di tenggara Turki dengan membawa bom pintar yang menyasarkan tiga lokasi IS di Kilis.

Sumber berkata, sasaran membabitkan dua pusat kendali dan satu tempat perhimpunan bagi penyokong IS tanpa menceroboh ruang udara Syria.

Agensi berita Dogan berkata, 35 anggota IS terbunuh dalam serangan di tempat perhimpunan berkenaan, namun perkara itu tidak dapat disahkan.

Kerajaan dalam satu kenyataan berkata, keputusan melancarkan operasi itu dibuat hasil mesyuarat keselamatan Khamis lalu selepas lima pejuang IS melepaskan tembakan dari Syria mencetuskan serangan balas Turki yang mengakibatkan sekurang-kurangnya seorang militan terbunuh.

Awal minggu lalu Turki membenarkan tentera AS menggunakan pangkalan udara utama Incirlik berhampiran sempadan Syria untuk melancarkan serangan udara terhadap IS.

Sementara itu, pihak berkuasa Turki semalam menahan 251 orang dalam serbuan awal pagi terhadap orang disyaki militan Negara Islam (IS) dan Kurdis susulan serangan keganasan di negara itu sepanjang minggu lalu.

Pejabat perdana menteri berkata dalam satu kenyataan: “Seramai 251 orang ditahan kerana menganggotai kumpulan pengganas. Serbuan dilakukan di 13 wilayah Turki.”

Menurut Dogan, 140 kediaman diserbu di 26 kejiranan di Istanbul saja dalam operasi besar-besaran membabitkan 5,000 anggota.

Selain anggota IS dan Parti Pekerja Kurdistan (PKK), polis turut menyasarkan ahli sayap belia PKK, Pergerakan Revolusi Belia Patriotik (YDG-H) dan kumpulan radikal Marxis Parti Barisan Revolusi Pembebasan Rakyat (DHKP-C).

Seorang suspek wanita dipercayai anggota DHKP-C turut terbunuh selepas melawan ketika ditahan.

Isnin lalu, 32 maut akibat serangan berani mati di Suruc, sebuah bandar di sempadan Syria dipercayai dilakukan IS.

Kejadian itu mencetuskan keganasan di tenggara Turki yang mempunyai ramai etnik Kurdis apabila kerajaan didakwa bersekongkol dengan IS walaupun berulang kali dinafikan Ankara.

Dua polis ditembak mati di satu lagi bandar berhampiran sempadan, Rabu lalu, yang dilaksanakan sayap bersenjata PKK bagi membalas dendam bagi kejadian di Suruc yang kononnya turut membabitkan polis. Kelmarin, seorang lagi anggota polis terbunuh di Diyarbakir.-Agensi/HMetro

Komen


Berita Berkaitan