Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,712

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Tuntut RM5.1 juta

8:54am 12/07/2016 Pak Roshan 22 views Global
RAKAMAN disiarkan BBC menunjukkan serbuan polis di kediaman Richard.

RAKAMAN disiarkan BBC menunjukkan serbuan polis di kediaman Richard.

London: Penyanyi Sir Cliff Richard memulakan tindakan undang-undang bernilai lebih £1 juta (RM5.1 juta) terhadap badan penyiar BBC kerana menyiarkan secara langsung serbuan polis di rumahnya dalam siasatan salah laku seks terhadapnya pada 2014.

Peguamnya berkata, surat sudah dihantar kepada BBC dan polis di South Yorkshire kerana ‘penyalahgunaan maklumat sulit.’

Richard, 75, mendakwa detektif dan wartawan secara salah bersubahat mengganggu privasinya ketika serbuan oleh polis yang menyiasat dakwaan seks terhadapnya selain menamakannya sebagai suspek sebelum dia disoal siasat.

Susulan siasatan terhadapnya digugurkan baru-baru ini, Richard kini menuntut ganti rugi dan kos lebih £1 juta.

BBC dikritik hebat oleh peguam terkemuka, peminat serta rakan Richard dan ahli politik tempatan kerana menyiarkan rakaman itu apabila jurukamera menaiki helikopter mengelilingi ruang udara kediaman berkenaan yang menunjukkan polis di sebalik tingkap memeriksa barangan peribadi penyanyi legenda terbabit.

Selepas siasatan selama 22 bulan yang disifatkannya sebagai satu penyeksaan teruk, Richard akhirnya dimaklumkan pendakwa bulan lalu bahawa tiada tuduhan bakal dikenakan terhadapnya.

Menurut sumber, Richard pada mulanya tidak mahu mengambil tindakan terhadap ‘dua institusi terkemuka Britain’ itu, tetapi mengubah fikiran kerana menganggap polis dan BBC menghancurkan reputasinya selain menyebabkan fikirannya terganggu.

Surat berkenaan dihantar Jumaat lalu.

“Isunya bukan wang. Cuma dia tidak mahu sesiapapun yang tidak bersalah mengalami apa dilaluinya sejak dua tahun lalu.

“Dia bernasib baik kerana cukup mampu menegakkan keadilan untuk dirinya, dan kami berharap hakim sependapat dengannya bahawa pendedahan maklumat rahsia ini sesuatu yang menyalahi undang-undang,” kata sumber.

Richard menganggarkan siasatan itu mengakibatkan kerugian sekitar £1 juta termasuk terpaksa menangguhkan pengeluaran albumnya selain mengalami masalah kesihatan akibat tekanan. Perniagaannya yang lain turut terjejas secara tidak langsung. – Agensi/HMetro

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan