Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

TUNGGU SIASATAN KERAJAAN NEGERI SEBELUM AMBIL TINDAKAN: TERESA

Menteri Industri Utama, Teresa Kok (berdiri empat dari kanan) bersama para penerima anugerah MPOB yang disampaikan olehnya di Hotel Promenade di sini hari ini. Gambar SNT/Ehsan Kementerian Industri Utama

KOTA KINABALU: Menteri Industri Utama Teresa Kok menyatakan kesedihannya dengan kematian gajah Borneo di Sabah namun beliau belum lagi bersedia untuk menyalahkan pekebun kecil kelapa sawit tanpa sebarang bukti jelas.

Teresa berkata kementeriannya akan menunggu hasil siasatan kerajaan negeri Sabah berhubung hal itu sebelum membuat kenyataan atau mengambil apa-apa tindakan.

Katanya walaupun beliau sedih dan dukacita dengan kejadian itu, namun beliau tidak boleh menyalahkan peladang atau pekebun kecil mengenainya kerana belum ada bukti jelas yang mengaitkan pembunuhan gajah itu dengan pihak peladang atau pekebun kecil.

“Saya tidak ingin menyalahkan pekebun kecil atau peladang mengenai pembunuhan gajah itu kerana belum ada bukti. Jadi mari kita sama-sama tunggu laporan siasatan kerajaan negeri Sabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pekebun Kecil Sawit 2018 di sini hari ini.

Teresa mengulas mengenai kebimbangan WWF-Malaysia berhubung kekerapan kes kematian gajah liar di Sabah kebelakangan ini. Mengikut Jabatan Hidupan Liar Sabah, untuk tahun ini sahaja, 26 ekor gajah dilaporkan mati dipercayai dibunuh dengan sebahagiannya mati disebabkan jangkitan pada luka yang terkena perangkap di bahagian kaki.

Justeru kata Teresa, langkah kerajaan memperkenalkan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) ialah untuk menggalakkan peladang dan pekebun kecil di negara ini menjaga alam sekitar serta membudayakan amalan pertanian baik dalam penanaman kelapa sawit.

Menteri Industri Utama Teresa Kok menyampaikan sijil kepada salah seorang penerima anugerah MPOB di Hotel Promenade di sini hari ini. Gambar SNT/Ehsan Kementerian Industri Utama

Katanya di bawah pensijilan MSPO berkenaan, mana-mana peladang yang didapati bersalah membunuh binatang liar yang begitu bernilai boleh diambil tindakan termasuk menarik balik persijilan MSPO mereka.

Semua peladang dan pekebun kecil kelapa sawit diwajibkan mendapatkan Pensijilan MSPO menjelang tahun 2020.

“Sasaran kerajaan…ialah supaya kesemua pekebun kecil dan peladang (jelas) mengenai peranan mereka untuk menjaga alam sekitar dan mangadakan cara penanaman yang betul agar segala tuduhan yang dilemparkan kepada Malaysia (berkaitan pengeluaran minyak sawit) ini kita dapat jawap,” katanya.

Persidangan yang berlangsung dari 4 hingga 6 September di Hotel Promenade ini telah dihadiri oleh 500 peserta termasuk pekebun-pekebun kecil, industri serta agensi dan organisasi kerajaan dan swasta.

Persidangan ini diadakan setiap dua tahun dan menyedia ruang interaksi kepada pihak penggiat dalam penanaman sawit mengenai Amalan Pertanian Baik dan penggunaan teknologi baharu penanaman sawit. Ini adalah antara pendekatan MPOB bagi memperkasakan sektor pekebun kecil melalui peningkatan produktiviti dan prestasi industri sawit yang menjana ekonomi negara.

Tema tahun ini adalah “Budi Disemai, Bakti Dituai’ dan melibatkan perbincangan dan perkongsian maklumat terkini kepada para peserta mengenai pembangunan sektor pekebun kecil dan menangani cabaran termasuk dari aspek kualiti, keselamatan dan kemampanan.

Para peserta turut diberi pendedahan termasuk lawatan ke Ladang Ternakan Tenusu Yun Fook Resources Sdn Bhd di Keningau.

Di majlis tersebut Teresa juga menyampaikan anugerah-anugerah bagi pihak MPOB, iaitu bagi kategori Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) Terbaik serta Pekebun Kecil Sawit Jaya (masing-masing bagi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Turut diberi penghargaan adalah 12 pekebun kecil yang telah memperoleh pensijilan mampan Malaysian Sustainable Palm Oil (MPSO).-SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan