Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,642

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Tun Mahathir Mengaku Buat Dakwaan Hanya Berdasarkan Andaian – 1MDB

11:52pm 03/12/2015 Pak Roshan 503 views Isu Semasa,Mutakhir

1mdb

KUALA LUMPUR : Tun Dr Mahathir Mohamad terus mengulangi dakwaan lama, tidak mempunyai bukti serta tidak berasas dan hanya berdasarkan apa yang beliau sendiri akui sebagai ‘andaian’, bukan bukti, kata 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam kenyataan di sini hari ini, 1MDB berkata perkara itu berlaku walaupun penjelasan terperinci dan berasaskan fakta telah dikeluarkan pihaknya dan “hakikat bahawa Dr Mahathir telah berulang kali dibuktikan tersilap berhubung dakwaannya bahawa RM42 bilion hilang daripada 1MDB”.

“Tidak seperti Tun (Dr) Mahathir, yang bergantung pada andaian, 1MDB lebih suka berurusan dengan berasaskan fakta. Adalah suatu fakta bahawa akaun 1MDB diaudit oleh firma antarabangsa ternama. Adalah juga suatu fakta bahawa sesiapa sahaja dengan mudah boleh mengesahkan fakta dan angka 1MDB dengan menyemak akaun yang diaudit dan dedahkan kepada umum,” kata kenyataan itu.

Kenyataan ini merujuk kepada tulisan terbaru bekas perdana menteri itu dalam blognya.

1MDB berkata melalui kenyataannya, Dr Mahathir secara jelas menunjukkan beliau memandang hina dan rendah terhadap pelbagai agensi yang sedang menyiasat 1MDB.

“Selepas 22 tahun berkuasa, dalam fikirannya, hanya Tun (Dr) Mahathir sahaja yang betul. Ini walaupun beliau terbukti tersilap mengenai dakwaan ‘RM42 bilion hilang’ dan dengan selamba mengaku tidak mempunyai bukti apabila ditanya sama ada beliau akan membuat laporan polis terhadap 1MDB,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, adalah suatu fakta yang diketahui umum bahawa pada 4 Mac, Kabinet mengamanahkan tugas kepada Ketua Audit Negara untuk menyemak akaun 1MDB yang telah lepas.

Satu laporan interim dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 9 Julai dan laporan akhir akan dikemukakan kepada PAC – yang dianggotai Anggota Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang – pada 17 Dis.

“1MDB kini, dan akan terus menjadi syarikat paling hebat disiasat dalam sejarah Malaysia. Kami telah bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa yang sah, termasuk SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), PDRM (Polis Diraja Malaysia), BNM (Bank Negara Malaysia), Jabatan Audit Negara dan PAC,” katanya.

Menurut kenyataan itu, bukti dan keterangan dalam bentuk dokumen telah dikemukakannya kepada pihak berkuasa berkenaan dan setiap satu daripadanya menjalankan siasatan secara bebas dan mengeluarkan kenyataan berkaitan 1MDB.

“Sekiranya Tun (Dr) Mahathir berminat kepada kebenaran, beliau akan membiarkan agensi ini menyelesaikan siasatan mereka dan menunggu dapatan mereka. Bagaimanapun, daripada berbuat demikian, Tun (Dr) Mahathir dengan sewenang-wenangnya terus membuat tuduhan tanpa membuat sebarang siasatan, tanpa merujuk kepada fakta dan tanpa mempedulikan kedaulatan undang-undang serta proses sewajarnya,” tegas kenyataan itu.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan