Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,663

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Tukar parti tak jamin kebaikan kepada negara

4:10pm 14/08/2016 Pak Roshan 18 views Mutakhir,Politik,YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman

musa

SANDAKAN: Ahli UMNO Sabah diingatkan supaya tidak terpedaya dengan isu berbaur hasutan supaya menyertai parti baharu atau menukar kepemimpinan.

Ketua Menteri merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Musa Aman, berkata berpindah parti tidak menjamin kebaikan kepada negara, sebaliknya hanya mewujudkan keadaan porak-peranda seperti di negara Asia Barat susulan tindakan menukar pemimpin dan kerajaan.

Katanya, apa yang penting adalah memberi sokongan kepada kerajaan untuk memastikan keamanan terus dikecapi rakyat, sekali gus membolehkan perancangan membela nasib rakyat serta masa depan generasi muda terjamin.

“Kita tidak mahu keadaan kucar-kacir seperti di Syria, Mesir dan beberapa negara lain berlaku di Sabah kerana terikut-ikut hasutan menukar pemimpin dan kerajaan.

“Sudah lumrah dalam parti ada macam-macam tohmahan, hasutan, tubuh parti baharu, namun yang penting kita sebagai ahli UMNO di Sabah tetap bersama presiden parti dalam perjuangan kerana sebagai adik bongsu (dalam UMNO), kita diajar taat setia kepada pemimpin dan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Libaran di Dewan Sri Libaran di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Wanita UMNO Sabah merangkap Ketua Wanita UMNO Libaran, Datuk Armani Mahiruddin; Naib Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Jainab Ahmad dan Naib Ketua UMNO Libaran, Datuk Juslie Ajirol.

Musa yang juga Ketua UMNO Bahagian Libaran, turut mengingatkan sayap parti itu supaya tidak bekerja ala kadar, sebaliknya memastikan program kebajikan dijalankan memberi impak tinggi kepada rakyat.

“Perjuangan kita mesti membawa kesan supaya (UMNO) terus diterima dan rakyat tahu kita ada perancangan terbaik untuk negeri ini,” katanya. –  BH Online

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan