Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,654

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

TUDM Bina Pusat Bantuan Operasi Di Sandakan

9:47am 21/11/2015 Pak Roshan 251 views Mutakhir,Tempatan,WP. Labuan

tudm

LABUAN : Sebuah pusat bantuan operasi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan dibina di Sandakan, Sabah dalam usaha mengukuhkan lagi kawalan keselamatan di ruang udara negara ini daripada ancaman luar.

Pusat itu yang dijangka dibina tahun depan berfungsi sebagai tempat bagi menguruskan operasi pesawat TUDM daripada segi kelengkapan logistik, keselamatan dan pentadbiran.

Panglima Operasi Udara TUDM Left Jen Datuk Seri Ackbal Abdul Samad berkata pusat itu akan membantu anggota tentera yang sedang melakukan Op Pasir di kawasan perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

“Sebuah pusat bantuan operasi telah ditubuhkan di Tawau dan mempunyai infrastruktur, anggota serta beberapa aset seperti helikopter.

“Kami percaya dengan penubuhan pusat bantuan berkenaan di Sandakan ia akan meningkatkan tahap keselamatan di Wilayah Udara Dua ini serta akan lebih terjamin di masa hadapan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penutup Eksesais Paradise 2/2015 (Ex-Paradise) di Pangkalan TUDM Labuan di sini, Jumaat.

Beliau berkata ia merupakan sebahagian perancangan TUDM dalam menghadapi ancaman semasa daripada pelbagai aspek.

Ackbal berkata pihaknya juga akan memindahkan satu skuadron pejuang ke Pangkalan Udara Labuan.

Namun beliau enggan mengulas lanjut bila pihaknya akan memindahkan skuadron itu.

“Usaha itu adalah untuk meningkatkan tahap kawalan keselamatan di ruang angkasa di wilayah berkenaan daripada ancaman musuh luar,” katanya.

Lebih 100 anggota TUDM daripada pelbagai kepakaran terlibat dalam eksesais yang bermula semalam hingga hari ini, melibatkan pelbagai aset seperti pesawat pejuang Su-30 MKM, Hawk dan F/A 18D.

Ackbal berkata eksesais itu penting bagi TUDM kerana ia merupakan platform untuk menguji dan mempertingkatkan keupayaan serta kesiapsiagaan TUDM ke arah pelaksanaan misi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan ruang angkasa negara yang lebih efektif.

Ex-Paradise adalah eksesais TUDM yang tertumpu kepada latihan peringkat taktikal yang membuktikan kemapanan TUDM melaksanakan Operasi Udara di Wilayah Udara 2 (Sabah dan Sarawak).

Selain itu, seramai 58 wakil media tempatan menyertai Hari Media bersama Kementerian Pertahanan dan TUDM sempena Ex-Paradise 2/2015.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan