Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Tubuh talian hotline: Masidi

masidi manjun

KOTA KINABALU: Talian hotline untuk melaporkan kegiatan operator pelancongan tidak berdaftar perlu ditubuhkan berikutan peningkatan jumlah operator pelancongan tidak berdaftar di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, cadangan sedemikian telah dikemukakan olehnya sejak lebih setahun lalu bagi membolehkan orang ramai dan operator pelancongan berdaftar menyalurkan aduan mengenai kegiatan operator tidak berdaftar.

Bagaimanapun, talian aduan itu belum ditubuhkan sehingga kini.

Menurutnya, sekiranya tindakan secara serius tidak diambil, ia akan menjejaskan imej industri pelancongan di negeri ini.

“Malangnya Kementerian Pelancongan di negeri ini tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan lesen pelancongan kerana kuasa itu terletak di tangan Kementerian Pelancongan di peringkat persekutuan.

“Kita perlu lihat isu ini secara serius kerana ia akan menjejaskan pendapatan operator pelancongan berdaftar. Industri pelancongan di Sabah akan terjejas dan berakhir tanpa penguatkuasaan undang-undang,” katanya ketika ditemui pada Majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Persatuan ejen-ejen pelancongan dan pengembaraan Malaysia (Matta) Sabah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penguatkuasaan terhadap operator pelancongan tidak berdaftar di negeri ini, di sini kelmarin.

Masidi berkata, jika operator pelancongan tidak berdaftar terus beroperasi di negeri ini, ia akan menjejaskan reputasi pelancongan di Sabah.

“Jika operator tidak berdaftar beroperasi di sini, pelancong akan hilang kepercayaan kepada kita. Di Sabah, ‘selling point’ kita adakah orang di Sabah kebanyakan baik dan ikhlas dan industri pelancongan kita dirosakkan kerana adanya operator tidak berdaftar.

“Kita terima hakikat bahawa mana-mana industri berdepan dengan operator tidak berdaftar namun ia bukan alasan untuk kita dalam industri pelancongan ini duduk diam tanpa mengambil sebarang tindakan,” katanya.

Ditanya mengenai cadangan Matta agar lebih banyak operasi menangkap operator pelancongan tidak berdaftar di negeri ini, beliau berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada agensi berkaitan.

Katanya, dalam menangani isu operator tidak berdaftar ini, kerjasama semua pihak diperlukan.

“Saya berharap penggiat industri pelancongan ini berani membuat laporan sekiranya ada kawan mereka yang bertindak sebagai operator tidak berdaftar. Saya percaya mereka tahu siapa yang menjalankan kegiatan tidak berdaftar ini,” jelasnya.

Kemudian ditanya mengenai jumlah operator tidak berdaftar yang dikenakan tindakan terlalu sedikit, Masidi berkata jumlah itu sedikit kerana kekurangan kakitangan di Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (Motac) di sini.

Bagaimanapun, beliau percaya kementerian di sini lebih daripada gembira jika kementerian di peringkat persekutuan boleh menempatkan lebih ramai kakitangan di pejabat mereka di sini.

Turut hadir di majlis itu adalah Presiden Matta Hamzah Rahmat; Pengerusi Matta Sabah Robert Chong; Naib Presiden Matta Sabah (Inbound) KL Tan; Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Datuk Joniston Bangkuai; dan Pengurus Besar STB Datuk Irene Benggon Charuruks.

Komen


Berita Berkaitan