Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,794

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Tubuh bomba sukarela tangani kebakaran besar di Sabah

3:37pm 26/06/2016 Pak Roshan 142 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan
DATUK Abdul Rahman Dahlan bergambar bersama pegawai dan anggota JBPM Sabah selepas majlis penyerahan kuih raya kepada anggota bomba dan bersahur di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, di sini, awal pagi tadi. - Foto Mohd Nazllie Zainul.

DATUK Abdul Rahman Dahlan bergambar bersama pegawai dan anggota JBPM Sabah selepas majlis penyerahan kuih raya kepada anggota bomba dan bersahur di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, di sini, awal pagi tadi. – Foto Mohd Nazllie Zainul.

KOTA KINABALU: Penubuhan bomba sukarela di setiap kawasan perumahan dan kampung mampu menangani kes kebakaran besar yang sering berulang di negeri ini hingga mengakibatkan kerugian harta benda serta membahayakan nyawa.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata ia perlu diwujudkan di sesuatu penempatan bagi membantu memadam kebakaran sebelum bomba tiba, sekali gus mengurangkan peratus kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda pada skala besar.

Katanya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah sentiasa turun ke peringkat komuniti bagi memastikan ada bomba sukarela mahupun kadet bomba di semua penempatan di seluruh negeri.

“Bagaimanapun, pelaksanaan ini memerlukan komitmen semua anggota masyarakat di peringkat akar umbi.

“Selain itu, saya ingin menyarankan setiap pemilik rumah membeli alat pemadam api mudah alih supaya kita boleh memadamkan api pada peringkat awal kebakaran.

“Penempatan yang dibina terlalu hampir antara satu sama lain juga faktor utama mendorong kebakaran besar terutamanya apabila ia membabitkan masalah litar pintas,” katanya selepas majlis penyerahan kuih raya kepada anggota bomba dan bersahur di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, di sini, awal pagi tadi.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Nordin Pauzi.

Awal pagi semalam, kira-kira 100 rumah di Kampung Tanjung Kapor, Kudat, musnah dalam kebakaran mengakibatkan lebih 800 penghuni hilang tempat tinggal.

Ia kebakaran besar kedua di daerah itu dalam tempoh sebulan selepas 250 rumah atas air di Kampung Landung Ayang, hangus menyebabkan lebih 1,000 penduduk tinggal sehelai sepinggang pada 23 Mei lalu.

Abdul Rahman berkata, pihaknya mendapati punca kebakaran di Kampung Tanjung Kapor awal pagi semalam disebabkan kecuaian ketika memasak. – BH Online

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan