Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,823

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Trend peningkatan jumlah anak gajah Borneo yang diselamatkan membimbangkan

7:31pm 27/02/2016 Elezebeth Esther Onjining 72 views Rencana,Tempatan
Kumpulan anak gajah yang telah diselamatkan bersama penjaga semasa sesi latihan petang di Sepilok Wildlife Medical Care Centre

Kumpulan anak gajah yang telah diselamatkan bersama penjaga semasa sesi latihan petang di Sepilok Wildlife Medical Care Centre

BILANGAN anak Gajah Borneo yang diselamatkan kian meningkat dari semasa ke semasa dan hal ini adalah amat membimbangkan. Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, anak-anak gajah ini telah dijumpai berkeliaran di kawasan kampung dan ladang kelapa sawit yang terletak di pinggir hutan simpan tanpa ibu mahupun kawanannya. Hal yang demikian memerlukan Unit Penyelamat Hidupan Liar, Jabatan Hidupan Liar (WRU) untuk bekerja sepenuh masa bagi menyelamat dan menjadi ibu tumpang bagi menjaga anak-anak gajah tersebut.

“Saya berasa amat risau dengan apa yang telah terjadi kepada populasi Gajah Borneo. Sepanjang tiga tahun yang lalu, kami telah menyelamatkan 15 ekor anak gajah, kesemuanya di bawah usia 1 tahun dan anak-anak gajah ini dijumpai berkeliaran sendirian. Bilangan ini sebenarnya kian bertambah yang mana pada tahun 2013, dua ekor anak gajah diselamatkan, tiga ekor pada tahun berikutnya dan pada tahun 2015, kami telah menyelamatkan sebanyak lapan ekor anak gajah. Pada tahun ini, sebanyak dua ekor anak gajah lagi diselamatkan dalam bulan Februari. Kesemua anak gajah ini diselamatkan di kawasan Pantai Timur Sabah seperti di Tawau, Lahad Datu, Telupid, Kinabatangan, dan Sandakan di mana kawasan tersebut turut diketahui sebagai kawasan utama Konflik Manusia-Gajah.” kata Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Encik William Baya.

“Dengan peningkatan jumlah kehilangan dan fragmentasi habitat gajah, laporan mengenai Konflik Manusia-Gajah telah melambung sehingga ke tahap di mana usaha yang dilakukan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah bagi mengendalikan kes ini menjadi amat mencabar. Pada 10 tahun yang lalu, kerja translokasi gajah dari kawasan konflik ke kawasan lain yang membuahkan hasil positif, namun kini ia bukan lagi merupakan jalan penyelasaian kepada masalah Konflik Manusia-Gajah. Hal ini terjadi disebabkan gajah yang ditranslokasi, telah mencetuskan konflik baru di kawasan ia dipindahkan atau gajah-gajah bermasalah ini akan kembali ke kawasan dimana ia mula ditangkap sebelum dipindahkan. Hal ini telah membangkitkan kemarahan penduduk setempat lantas mengambil tindakan sendiri seperti menembak dan meracun kawanan gajah di kawasan konflik.” tambah Encik William.

“Cabaran lain yang turut dihadapi oleh pihak Jabatan adalah penjagaan anak-anak gajah yang telah diselamatkan. Kami mempunyai sepasukan veterinar dan renjer daripada Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) yang bekerja keras sepenuh masa untuk menjaga, memberi makan, dan memainkan peranan sebagai “ibu tumpang” bagi anak gajah malang ini. Kos pembelian susu formula adalah sekitar RM 200 hingga RM 250 sehari bagi seekor anak gajah. Hal ini mencatatkan angka yang besar bagi perbelanjaan bulanan iaitu RM 40,000 hingga RM 45,000 sebulan atau lebih daripada RM 500,000 setahun hanya untuk perbelanjaan penyusuan gajah sahaja. Angka ini tidak termasuk gaji dan elaun yang perlu dibayar kepada para pekerja yang telah bertungkus lumus menjaga anak-anak gajah ini siang dan malam. Hal ini memberikan impak yang sangat tinggi terhadap dana Jabatan yang kian meruncing, dan kami menjangkakan lebih banyak anak gajah perlu diselamatkan pada masa mendatang ini.” kata Encik William lagi.

“Oleh yang demikian, saya dengan ini ingin menyeru kepada badan-badan korporat di Sabah malah di seluruh Malaysia yang mungkin mempunyai minat yang tulus dalam membantu Jabatan Hidupan Liar Sabah bagi membiayai penjagaan harian serta pemakanan anak-anak gajah malang ini atau mengambil gajah sebagai “haiwan angkat” seperti mana yang dilakukan oleh NGO Orangutan Appeal UK yang berpangkalan di UK terhadap orangutan di Sepilok.” jelas Encik William Baya.

“Hal ini ditambah dalam penerbitan iaitu satu kajian saintifik dengan penemuan yang membimbangkan di dalam jurnal atas talian, Biological Conservation oleh sepasukan saintis dari UK dan Sabah yang bertajuk: Habitat fragmentation and genetic diversity in natural populations of the Bornean elephant: Implications for conservation. Kesimpulan terbitan ini ialah Gajah Borneo menunjukkan perbezaan genetik tahap rendah tetapi signifikan di dalam setiap populasi, dan memastikan kesinambungan di antara populasi yang terpisah secara spatial serta mengelakkan penambahan fragmentasi di kalangan populasi ini adalah amat penting sekiranya kita ingin memelihara spesis Gajah Borneo.” kata Dr. Sen Nathan, Penolong Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah.

“Ditambah pula dengan trend membimbangkan peningkatan jumlah anak gajah yang diselamatkan kerana secara asasnya, kehadiran anak gajah untuk diselamatkan ini bermakna ibu-ibu kepada anak gajah tersebut telah dibunuh, hal ini mungkin akan menyumbang kepada kepupusan Gajah Borneo seperti mana yang terjadi kepada Badak Sumbu Borneo yang telah pupus di liar, Sabah. Kita tidak boleh membiarkan Gajah Borneo menerima nasib sama seperti badak. Langkah pemeliharaan in-situ (habitat asal) dan ex-situ (Pembiakan Terurus/Dalam Kurungan) harus diambil dari sekarang dan bukan 20 tahun akan datang,”tambah Dr. Sen lagi.- SayangSabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan