Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Trend baharu bunuh penyu membimbangkan

bunuh penyu

SEMPORNA: Trend baharu pembunuhan penyu untuk mendapatkan isi dan dagingnya didapati semakin membimbangkan di daerah ini dan perlu dibendung segera.

Menurut Pegawai Hidupan Liar Tawau Mohd Soffian Abu Bakar, pada tahun ini sahaja sebanyak dua kes sedemikian dilaporkan berlaku di Semporna.

“Walaupun kes menjual telur penyu di daerah ini agak rendah berbanding beberapa daerah lain, namun ancaman pembunuhan penyu semakin membimbangkan,” katanya.

Beliau berkata, berbanding penjualan telur penyu, kes pembunuhan penyu dewasa untuk mendapatkan isi, daging dan sebagainya adalah satu ancaman yang lebih besar.

Menurutnya, aktiviti sedemikian bukan hanya menyebabkan populasi spesis itu daripada berkurangan tetapi dikhuatiri akan melenyapkan terus spesis berkenaan.

“Pada tahun ini sahaja, sudah dua kes dilaporkan,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Papan Tanda Bermesejkan Penyu di Perpustakaan Semporna di sini kelmarin.

Soffian berkata, walaupun jabatan meningkatkan penglibatan dan kerjasama dengan masyarakat setempat dan pengusaha pusat pelancongan namun ancaman tetap berterusan.

Menerusi langkah penguatkuasaan undang-undang, individu yang didapati memiliki dalam kawalan atau menyimpan sebarang bahagian penyu atau hasilnya boleh didakwa menerusi Seksyen 41 (1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

“Sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 41 (4) denda RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Individu yang didapati bersalah memungut atau memiliki atau memperdagangkan telur penyu boleh didakwa mengikut Seksyen 87 (4) (a) dan (b) dan boleh dihukum menerusi seksyen sama.

Namun ancaman juga dilihat dari aspek ancaman semulajadi dan pemangsa semulajadi selain ancaman pemusnahan habitat penyu, pengambilan telur penyu dan sampah di laut.

“Daerah ini terkenal sebagai destinasi pelancongan di dunia dengan salah satu tarikan utama adalah penyu selain keunikan budaya dan persekitarannya.

“Sehubungan itu, kita dengan kerjasama WWF Malaysia mengenalpasti enam pulau yang penting sebagai tempat pensarangan penyu di Semporna.

“Antaranya, Pulau Mataking, Pom-Pom, Kulapuan, Boheyan, Timba-Timba dan Pandanan,” katanya.

Soffian mengajak masyarakat menyumbang kepada proses konservasi penyu dengan mengubah tradisi yang tidak membawa kebaikan atau memberi kesan negatif terhadap populasi penyu.

Beliau berkata, budaya tradisi diakui pelu dipertahan dan dihargai namun perlu diubah jika sehingga mendatangkan kesan negatif kepada ekosistem alam sekitar.

Untuk rekod, hasil pemantauan berterusan mendapati sebanyak 785 buah sarang penyu hijau dan 171 sarang penyu sisik dikesan di Semporna antara Jun 2006 dan Disember 2012.

Komen


Berita Berkaitan