Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Transformasi Lahad Datu Langkah Pulihkan Imej Daerah

KOTA KINABALU, 11 April : Mentransformasikan imej Lahad Datu daripada sebuah bandar palma kepada bandar keselamatan adalah antara langkah bagi memulihkan persepsi negatif ke atas daerah itu susulan insiden pencerobohan oleh kumpulan bersenjata dari Sulu di Kampung Tanduo lebih empat tahun lalu.

Datuk Mohammad Yusof Apdal (BN-Lahad Datu) berkata nama Lahad Datu masih lagi sinonim dengan insiden pencerobohan itu, khususnya dalam kalangan masyarakat pelabur dan peniaga mahupun luar negara.

“Sebahagian daripada proses transformasi ini (kepada bandar keselamatan) adalah dengan menaik taraf kem tentera sedia ada serta menyegerakan pembinaan kompleks Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan pangkalan operasi hadapan tentera udara di Lapangan Terbang Lahad Datu.

“Selain itu, bilangan anggota polis juga perlu ditambah bagi membolehkan pengawalan keselamatan yang lebih berkesan dan rondaan lebih kerap,” katanya ketika membahas ucapan dasar Yang Dipertua Negeri pada persidangan dewan undangan negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Menurut Yusof, Lahad Datu mempunyai 62 pegawai dan anggota polis yang mungkin terbeban dengan tugas mengawasi keselamatan Lahad Datu serta kawasan sekitar merangkumi lebih 40 kampung.

Selain itu, beliau berkata usaha pelancongan di Lahad Datu juga perlu dirancakkan, khususnya dalam mempromosikan kawasan yang menjadi tarikan pelancong seperti Lembah Danum, Taman Hidupan Liar Tabin dan Gua Madai.

“Kadar kemasukan lebih berpatutan yang dikenakan untuk melawat kawasan pelancongan bertaraf dunia seperti Lembah Danum dan Tabin juga boleh menyumbang kepada peningkatan pengunjung ke Lahad Datu.

“Difahamkan kadar yang dikenakan, terutama untuk bermalam, agak mahal mencecah ribuan ringgit hinggakan ia menjadi eksklusif kepada mereka yang berkemampuan dan pelancong luar sahaja,” katanya.

Yusof juga berkata liputan meluas mengenai program kebudayaan dan program berkaitan belia dan sukan di daerah itu juga dapat membantu memulihkan imej Lahad Datu.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan