Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Tradisi rumah terbuka semarakkan perpaduan rakyat

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

KOTA KINABALU – Sikap saling hormat-menghormati dan semangat toleransi tinggi dipamerkan oleh masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini membolehkan pelbagai perayaan dirayakan dalam keadaan aman serta harmoni.

Ia secara tidak langsung menyemarakan lagi budaya saling mengunjungi rumah-rumah terbuka antara satu sama lain dengan suasana penuh meriah, kesepakatan dan muhibbah, sekaligus menjadikan sambutan perayaan itu lebih bermakna.

Sehubungan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman menjelaskan, jurang perbezaan kepercayaan dan budaya rakyat di negara ini khususnya di Sabah dirapatkan menerusi nilai-nilai murni untuk terus mengekalkan keamanan dan keharmonian.

“Adalah menjadi harapan saya bahawa rumah terbuka akan terus diadakan dalam semangat sebenar demi memupuk perpaduan dan bukan dijadikan sebagai platform untuk mencapai matlamat politik semata-mata,” katanya dalam perutusan Hari Natal di sini hari ini.

Hakikatnya, Musa berkata, rakyat boleh berbangga kerana dapat hidup bersama dalam keadaan rukun dan damai sejak negara merdeka lebih beberapa dekad lalu.

Oleh sebab itu, beliau mengajak rakyat terus berusaha mengekalkan kesepaduan dan kesepakatan yang telah dinikmati sejak sekian lama dan ia sebenarnya hanya mampu dicapai sekiranya rakyat kekal bersatu dan tidak membiarkan perpaduan sedia ada terhakis begitu sahaja.

Beliau turut menasihati rakyat supaya tidak membiarkan persepsi negatif meresap ke dalam perpaduan yang dibina atas dasar dan semangat saling hormat-menghormati selama ini, atau negara berdepan risiko perpecahan.

“Jika kita membenarkan kebencian dan syak wasangka meresap ke dalam apa yang kita telah bina, nescaya kita akan berada dalam kerugian. Justeru, rakyat perlu terus berdaya tahan dan kukuh supaya kita dapat membina negara ini sesama-sama dan mencapai kualiti hidup lebih baik,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri menyambut baik usaha pihak individu, syarikat korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) yang meneruskan tradisi mereka meraikan perayaan ini di rumah-rumah kebajikan, anak yatim dan pusat jagaan orang kurang upaya. – oleh Sitti Nor Azizah Talata /  SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan