Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

TPM bangga kejayaan Program Transformasi Daerah Sabah

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - foto Jimmy Tan
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – foto Jimmy Tan

KOTA KINABALU – Kementerian Pendidikan yakin pencapaian Program Transformasi Daerah Sabah 2014 yang dirintis di negeri ini dapat diteruskan dan dipertingkatkan dari masa ke semasa.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kejayaan program itu dapat dilihat menerusi keputusan membanggakan Sabah dalam peperiksaan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terus meningkat.

“Sehubungan itu, saya berharap warga pendidikan di Sabah untuk terus melipatganda usaha bagi memastikan prestasi ini terus ditingkatkan untuk membawa negeri ini keluar dari belenggu `bottom five’. Saya faham dengan kekangan dan cabaran yang dihadapi oleh Sabah dalam hal ini.

“Dengan keadaan geografi yang serba mencabar dan infrastruktur yang perlu dipertingkat, peningkatakan kualiti pendidikan bukan satu usaha yang mudah.

“Namun dengan semangat dan kepakaran tempatan yang ada, dengan sokongan diberikan daripada kerajaan negeri dan Pusat, saya yakin Sabah mampu membuktikan kepada negeri lain bahawa negeri ini mampu melangkah ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perjumpaan khas bersama warga Institusi Pendidikan di Negeri Sabah di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Kedua Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri merangkap Exco Pendidikan Negeri, Datuk Masidi Manjun dan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching serta Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah.

Mengulas mengenai pembangunan infrastruktur, Muhyiddin menjelaskan, Sabah merupakan antara negeri yang sentiasa mendapat peruntukan pembangunan tinggi setiap tahun di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Menurut beliau, pada tahun lalu, sebanyak 24 projek pembangunan telah diluluskan bagi negeri Sabah dan daripada jumlah itu sebanyak lima projek merupakan projek besar yang bernilai lebih daripada RM5 juta setiap satu manakala 19 projek lagi adalah projek menaiktaraf.

Dalam pada itu, katanya, selain daripada peruntukan yang telah diturunkan bagi melaksanakan projek fizikal di bawah Belanja Pembangunan, KPM juga turut menyediakan peruntukan bagi kerja penyelenggaraan di sekolah dan institusi pendidikan di Sabah.

Bagi tahun 2014, beliau memberitahu, sejumlah RM74.9 juta telah diperuntukan kepada negeri Sabah.

“Ini membuktikan komitmen tinggi daripada kerajaan untuk memastikan keperluan pendidikan di setiap negeri terutama di kawasan pedalaman khusus di Sabah dan Sarawak sentiasa ditambah baik,” jelasnya.

Dalam usaha memastikan pendidikan berkualiti diterima oleh murid, Muhyiddin berkata, sebanyak enam projek telah diluluskan dalam RMK-10, Rolling Plan Keempat pada 2015 dan lima daripadanya adalah sekolah Model Khas K9 di Sabah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Pensiangan, SK Bawang, SK Buis, SK Menanam dan SK Gadong dengan jumlah peruntukan hampir RM25 juta.

Katanya, ia jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan pendidikan di Sabah dan komitmen tersebut akan diteruskan seperti yang dijanjikan. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan