Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,800

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Tony Pua Perlu Letak Jawatan Jika Mahu Teruskan Debat Terbuka 1MDB

5:43pm 03/11/2015 Pak Roshan 225 views Isu Semasa,Mutakhir

pandikar

KUALA LUMPUR : Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini memutuskan bahawa debat berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hanya boleh diteruskan jika Tony Pua meletak jawatan sebagai anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Sebagai tambahan, beliau berkata Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy juga tidak boleh menjadi saksi di dalam siasatan PAC ke atas 1MDB jika beliau mahu berdebat dengan Pua.

“Ini perlu bagi mengekalkan ketelusan siasatan dan prosiding yang dijalankan PAC selaras dengan peraturan-peraturan Dewan Rakyat.

“Bahas terbuka itu boleh menjejaskan prosiding siasatan PAC terhadap 1MDB serta menimbulkan prejudis orang awam terhadap kredibiliti pihak yang terlibat dalam siasatan tersebut,” katanya ketika membuat keputusan berhubung isu debat terbuka itu dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Pandikar Amin menegaskan sebarang pendedahan, keterangan atau perkara yang dikemukakan di hadapan sesebuah jawatankuasa adalah tertakluk kepada syarat yang diperuntukkan di bawah Peraturan Mesyuarat 23.

Katanya Peraturan Mesyuarat 23(1)(e) menyatakan perjalanan sesuatu prosiding yang belum dimaklumkan kepada Majlis tidak boleh didedahkan, justeru suatu debat yang melibatkan pertanyaan dan jawapan daripada kedua-dua pihak berhubung isu berkenaan adalah jelas bertentangan dengan peraturan itu.

“Memandangkan benda yang ingin didebatkan masih dalam siasatan PAC, apa-apa keterangan yang dikeluarkan dalam debat tersebut boleh dianggap sebagai ruang untuk membincangkan sesuatu perkara yang pramatang, memandangkan penyata jawatankuasa masih belum dikemukakan kepada Majlis.

“Sebarang kenyataan yang akan dikeluarkan dalam debat itu juga berkecenderungan menimbulkan tuduhan terhadap sifat, diri seseorang yang jelas tidak dibenarkan di bawah 23(1)(o),” katanya.

Beliau berkata sepatutnya Pua dan Arul Kanda menunggu sehingga laporan akhir penyiasatan PAC selesai dan dibentang kepada Dewan Rakyat akhir tahun ini, sebelum bahas tersebut diadakan.

“Dalam soal ini, saya terpaksa menjalankan tugas saya sebagai Speaker iaitu tidak boleh membenarkan debat antara Petaling Jaya Utara dengan Encik Arul Kanda Kandasamy kerana sekarang ini, PAC sedang menyiasat.

“Jadi penyiasatan (PAC) itu harus diteruskan mengikut Peraturan mesyuarat,” katanya yang turut menyoal rasional kenapa bahas itu harus diadakan sekarang.

“Kalau kerajaan teruskan debat itu, saya tidak akan libatkan diri dalam hal ini dan saya dengan segala sukacitanya akan mengundur diri sebagai Speaker jika ia diteruskan juga.

“Pendirian saya adalah jelas,” katanya, sekali gus mengingatkan Pua bahawa tugasnya dalam PAC ialah sebagai penyiasat dan bukan pendakwa.

“Kalau Petaling Jaya Utara (Pua) dibenarkan untuk membahas, maknanya dia jadi pendakwa, bukan penyiasat,” katanya.

Sabtu lepas, Arul Kanda menyahut cabaran Pua untuk mengadakan bahas secara langsung mengenai isu 1MDB tanpa syarat, dan perkara itu menimbulkan pelbagai reaksi daripada berbagai pihak.

— BERNAM

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan