Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Tolak golongan ekstrem ke Sabah

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman bersama menteri Kabinet negeri, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan serta para penjawat awam yang hadir dalam Perhimpunan Perdana Ketua Menteri Bersama Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan 2015 di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu. foto Ille Tugimin
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman bersama menteri Kabinet negeri, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan serta para penjawat awam yang hadir dalam Perhimpunan Perdana Ketua Menteri Bersama Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan 2015 di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu. foto Ille Tugimin

KOTA KINABALU – Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman menyelar pihak yang cuba menanam benih kebencian, perpecahan, provokasi kaum dan agama dalam kalangan rakyat di negeri ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi dengan pihak luar seperti pemimpin pembangkang yang berniat mengambil peluang membuat bermacam-macam fitnah ke atas Sabah.

“Jangan ada orang-orang tertentu cuba cuba membuat fitnah seolah-olah kita ini ekstrem, tidak bebas beragama sedangkan kita tidak pernah ada masalah seperti itu. Kita hidup aman dan harmoni. Itu yang kita amalkan sekian lama.

“Kita akan bertindak mengikut peraturan dan undang-undang yang ada dan kuasa yang diperuntukkan kepada kerajaan negeri demi melindungi kepentingan majoriti rakyat Sabah yang cintakan keamanan dan keharmonian,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Perhimpunan Perdana Ketua Menteri Bersama Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan 2015 di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Salleh Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Borhan Dolah; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran), Datuk Asnimar Sukardi dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman serta ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan.

Musa berkata, kerajaan negeri mempunyai bukti kukuh bahawa terdapat pihak berkenaan yang cuba membuat bermacam hasutan kepada rakyat negeri ini dan tindakan diambil untuk menghalang perbuatan itu adalah tepat.

Mengenai peranan media sosial, beliau menjelaskan semua pihak perlu berhati-hati dalam berkongsi maklumat terutama berkaitan kerajaan.

Katanya, peranan media sosial kini amat luas termasuk dalam menyiarkan isu-isu pembangunan dan kemudahan untuk rakyat di kawasan pedalaman begitu cepat tersebar terutama dalam media sosial.

Tambah beliau lagi, walaupun banyak kemudahan lain telah disediakan oleh kerajaan di kawasan itu, tetapi dengan hanya sekeping gambar negatif yang disebarkan (viral), ia menimbulkan persepsi seolah-olah selama ini kerajaan langsung tidak berbuat apa-apa untuk rakyat di luar bandar.

“Oleh itu, saya syorkan supaya jabatan dan agensi yang terlibat secara langsung dalam pembangunan luar bandar supaya merangka satu pelan komunikasi berkaitan isu-isu seperti ini, dengan kerjasama Pejabat Daerah dan wakil wakil rakyat setempat.

“Jangan tunggu sehingga perkara ini tersebar luas dan menimbulkan impak negatif kepada kerajaan, sebaliknya kita perlu tampil segera untuk memberikan penjelasan yang tepat, supaya rakyat mendapat gambaran sebenar,” ujarnya. –oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan