Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,769

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

TLDM Gerak 2 Kapal Bantu Operasi SAR Mangsa Hilang Di Perairan Kudat

5:56pm 04/05/2016 Pak Roshan 856 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan
gambar hiasan

gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah menggerakkan dua buah kapalnya iaitu KD Baung dan KD Jerung untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) empat mangsa yang dilaporkan hilang ketika menaiki bot di perairan Kudat, Isnin lepas.

Panglima TLDM Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata selain kedua-dua kapal itu, beberapa buah bot milik TLDM juga dikerah dalam operasi yang dijalankan bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Marin dan beberapa agensi keselamatan lain.

“Kami juga meminta bantuan Tentera Udara Diraja Malaysia untuk memantau situasi dari udara di kawasan yang lebih luas bagi mengesan mangsa melalui pesawat rondaan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Derma Darah sempena sambutan Hari TLDM ke-82 di sini, hari ini.

Ahmad Kamarulzaman juga menggesa komuniti maritim lain seperti nelayan dan bot pelancong di sekitar perairan berkenaan untuk turut membantu dalam operasi tersebut.

Beliau berkata, pihaknya bersama agensi lain memberi keutamaan yang tinggi dalam operasi SAR mangsa sambil berharap mereka dapat ditemui dengan cepat dan selamat.

Menurut laporan media, empat mangsa terbabit yang terdiri daripada dua warga Sepanyol, seorang rakyat China dan seorang warga tempatan dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang dari Pulau Balambangan di Bangi ke tempat penginapan mereka di Tanjung Simpang Mengayau dekat sini, lewat petang semalam.

Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan bot itu dipercayai mengalami kerosakan disebabkan keadaan cuaca buruk dan laut bergelora.

Mengenai program derma darah hari ini, beliau menyifatkan sambutan yang diberikan oleh warga Kementerian Pertahanan amat luar biasa memandangkan ia telah memecah rekod penderma paling ramai iaitu 300 peserta berbanding 200 penderma pada tahun sebelumnya.

“Saya harap lebih ramai masyarakat yang tampil menderma darah kerana apa yang saya lihat tahap kesedaran masih rendah di kalangan mereka dan ia juga bagus untuk kesihatan di samping membantu golongan yang memerlukan,” katanya. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan