Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,798

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

TLDM Akan Tambah Dua Lagi Aset Di Sabah Untuk Perkukuh Operasi

7:28pm 27/04/2016 Pak Roshan 383 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

tldm

KOTA KINABALU : Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menempatkan dua lagi kapal ronda generasi baharu (NGPV) di Sabah bertujuan meningkatkan lagi pengawasan keselamatan perairan negeri.

Panglima Wilayah Laut 2 Laksamana Muda Datuk Khairul Anuar Yahya berkata penambahan dua lagi aset pertahanan itu menjadikan empat NGPV beroperasi di perairan Sabah.

“Sekarang ini, ada dua (NGPV) iaitu KD Kedah dan KD Perak di sini. Dalam sedikit masa lagi, akan tambah lagi dua. Ini bertujuan memastikan kita mempunyai aset pertahanan yang mencukupi dan canggih bagi menjaga kedaulatan negara.

“TLDM juga akan bersama-sama agensi penguatkuasaan lain untuk terus memastikan keselamatan negara terpelihara,” katanya kepada pemberita selepas Perbarisan Istiadat Bersempena Ulang Tahun ke-82 TLDM di Padang Kawad KD Sri Kota Kinabalu di Teluk Sepanggar, dekat sini, Rabu.

Sebanyak 60 anggota TLDM daripada lapan platun menyertai acara perbarisan itu yang turut disaksikan oleh Tentera Laut Jepun, yang melakukan lawatan ke pangkalan TLDM Kota Kinabalu sejak Isnin hingga Khamis ini.

Pada Isnin, dua kapal perang Tentera Laut Jepun iaitu JS Makinami (DD-112) dan JS Suzunami (DD-114) tiba di Pelabuhan Pangkalan TLDM Kota Kinabalu bagi beristirahat dan mengisi semula bekalan sebelum meneruskan pelayaran ke pangkalan asal kapal berkenaan.

Khairul berkata lawatan seumpama itu adalah sebahagian daripada diplomasi pertahanan yang merupakan antara agenda tentera laut semua negara.

Justeru, beliau berkata pihaknya amat berbesar hati dan mengalu-alukan kehadiran tentera laut Jepun untuk bersama-sama meraikan sambutan ulang tahun TLDM.

Sementara itu, Duta Jepun di Malaysia Dr Makio Miyagawa berkata beliau dan tentera laut Jepun amat berbesar hati diundang untuk meraikan sambutan ulang tahun TLDM.

Katanya Malaysia merupakan tempat yang indah dan Tentera Laut Jepun meminta untuk melakukan kunjungan pelabuhan untuk merehatkan diri mereka dan mengisi bekalan sebelum belayar pulang ke Jepun.

Beliau berkata Malaysia dan Jepun menikmati hubungan yang baik dan akrab sejak sekian lama dan menurutnya “kami juga ingin memainkan peranan tertentu bukan sahaja dari segi kerjasama ekonomi, kebudayaan dan masyarakat tetapi juga dalam soal keselamatan”.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan