Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Tips Mengekalkan Momentum Ibadah Di Bulan Ramadan

Gambar Hiasan

Bulan Ramadan merupakan bulan ibadah. Namun, kerana lapar dan dahaga, keupayaan menjadi berkurangan sedangkan hati memang ingin menjadikan Ramadan kali ini lebih baik berbanding sebelumnya.

Justeru, berikut adalah 5 perkara bagi membantu anda mengekalkan momentum ibadah sepanjang bulan Ramadan:

#1 – Penuhi Diri Dengan Kefahaman Berkenaan Kemuliaan Ramadan

Allah telah memilih Ramadan sebagai bulan untuk umat Islam berpuasa sebagaimana dinyatakan melalui surah Al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman! Difardukan ke atas kamu puasa (Ramadan).”

Ramadan adalah bulan di mana pintu neraka ditutup dan terbukanya pintu-pintu syurga. Ini bermaksud, bulan Ramadan merupakan bulan penuh rahmat dengan begitu banyak kebaikan wujud di dalamnya. Hanya dalam bulan Ramadan kita disunatkan bersolat Tarawih. Dalam bulan ini juga adanya malam istimewa iaitu malam Lailatul Qadar.

Kedudukan mereka yang berpuasa dengan ikhlas adalah amat tinggi di sisi Allah sehingga Allah menyediakan pintu khas yang dinamakan al-Rayyan untuk memasuki syurga.

Banyak peristiwa bersejarah dalam dunia Islam berlaku semasa bulan Ramadan. Selain peperangan, kerja-kerja dakwah juga giat dijalankan pada masa itu. Ini menunjukkan yang lapar dan dahaga di bulan Ramadan tidak mengurangkan keimanan umat Islam.

#2 – Niat Azam Ramadan

Siapkan perancangan sebelum masuknya Ramadan seperti menyediakan jadual ibadah. Letakkan sasaran seperti khatam Al-Quran, solat terawih penuh selama sebulan, kurangkan membazir semasa berbuka puasa, sedekah, dan qiyamullail (solat malam).

Buat senarai yang mudah untuk anda lihat dan pantau setiap hari. Sekiranya ada kekurangan pada hari tersebut, hendaklah berusaha untuk memperbaikinya pada hari berikutnya.

Cuba berpuasa sunat sebelum bulan Ramadan tiba. Banyakkan juga membaca Al-Quran dan qiyamullail. Ini adalah latihan dan persediaan sebelum datangnya Ramadan.

#3 – Rancang Pemakanan

Apa yang anda makan dalam bulan Ramadan sedikit sebanyak memberi kesan kepada kualiti ibadah anda. Pastikan anda bersahur sekurang-kurangnya 10-30 minit sebelum masuk waktu Subuh.

Apa yang anda makan semasa bersahur juga penting. Kurangkan air manis. Sebaliknya minum lebih banyak air masak. Kurangkan makanan berminyak. Sebaliknya lebihkan makanan yang bernutrisi. Semasa berbuka puasa, elakkan makan berlebihan yang boleh melemahkan tubuh untuk beribadah.

#4 – Jaga Fokus

Berikan tumpuan anda kepada ibadah anda terutama semasa 10 malam terakhir. Jika mahu bercuti, atau membeli pakaian untuk hari raya, rancang ia agar tidak mengganggu ibadah anda. Sebaik-baiknya lakukan ia lebih awal supaya tumpuan ibadah anda tidak terganggu dengan hal-hal tersebut.

#5 – Ramadan Terakhir

Setiap tahun kita melihat ada insan yang tidak dapat menyambut Ramadan. Adakalanya hanya beberapa jam sebelum masuknya bulan mulia, mereka terlebih dahulu dijemput Ilahi. Kematian adalah pasti tetapi hanya diketahui Allah bilakah masa, tempat, dan caranya.

Oleh itu, tidak mustahil jika Ramadan kali ini adalah Ramadan kita yang terakhir. Fikirkan. Jika Allah menentukan Ramadan ini yang terakhir buat kita, bagaimanakah kita mengambil kebaikan darinya? Adakah kita akan mensia-siakan satu lagi peluang pahala di dalamnya?

Komen


Berita Berkaitan