Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,823

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Tingkat Kawalan Di Perairan Sabah Cegah Militan Maute

9:21pm 01/12/2016 Pak Roshan 193 views Mutakhir,Nasional

EssCom

KUALA LUMPUR – Kawalan keselamatan di perairan negara dipertingkat bagi mencegah sebarang kehadiran dan insiden pencerobohan anggota militan Maute yang diserang Angkatan Tentera Filipina (ATF) bulan lepas, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

“Ini diambil bagi menghalang anggota militan (Maute) mendapat sebarang perlindungan pihak tertentu di negara ini,” kata Naib Presiden UMNO itu dalam sidang media media selepas perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2016 di sini hari ini.

ATF dilaporkan melancarkan serangan ke atas penempatan kumpulan militan Maute di Butig, Lanao del Sur, Mindanao bagi mengusir mereka keluar sejak menguasai kawasan itu pada 24 Nov lalu.

Kumpulan militan bersenjata yang menumpahkan taat setia kepada militan Daesh itu dikenal pasti terlibat dalam serangan di Davao, Filipina pada 2 September lepas yang mengakibatkan 15 rakyat terbunuh.

Hishammuddin berkata laporan terkini yang diterima daripada ATF menunjukkan 19 anggota militan itu terbunuh manakala 13 anggota ATF tercedera dalam serangan berkenaan.

“Ini menuntut kita supaya tidak mempolitikkannya dan membuat perancangan lebih rapi bersama rakan-rakan negara jiran lain,” katanya.

Mengulas isu berkaitan, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media yang sama berkata pihaknya sedang melakukan tindakan sewajarnya untuk mematahkan sebarang tujuan jahat kumpulan militan Daesh di negara ini.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden berkata kerajaan tidak akan campur tangan dalam sebarang permasalahan negara lain melainkan isu penculikan atau jenayah sempadan melibatkan rakyat Malaysia atau pelancong yang datang ke negara ini.

“Kita tahu, situasi itu (serangan ke atas penempatan militan) berlaku susulan tindakan ketenteraan dan kepolisan kerajaan Filipina.

“Namun keizinan presiden negara itu yang membolehkan kita bertindak di wilayah tertentu sekali gus memudahkan operasi dijalankan bagi membendung penularan kegiatan kumpulan berkenaan ke Malaysia,” tambahnya. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan