Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,672

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Tindakan Tian Chua, Nurul Izzah Umpama Salam Perpisahan Kepada Rakyat Sabah

6:00pm 24/11/2015 Pak Roshan 79 views Mutakhir,Politik

tian-chua-nurul

PUTRAJAYA : Pergerakan Pemuda UMNO menyifatkan tindakan tidak sensitif dua Naib Presiden PKR Tian Chua dan Nurul Izzah Anwar mengatur serta bertemu dengan Jacel H. Kiram sebagai salam perpisahan parti itu kepada sokongan rakyat Sabah.

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata selain mengguris perasaan rakyat Sabah, pertemuan dua pimpinan tertinggi PKR dengan anak perempuan bekas ketua pengganas yang menceroboh Lahad Datu, Sabah pada 2013 itu juga dilihat sebagai menghina jasa anggota pasukan keselamatan yang terkorban dalam insiden tersebut.

“Dalam kes ini, saya melihat kedua-dua mereka sebenarnya telah melakukan satu perbuatan yang sangat-sangat tidak sensitif terhadap rakyat Sabah, terutamanya kepada mangsa pencerobohan dan juga waris anggota keselamatan yang terkorban dalam pertempuran.

“Saya tak pasti apa tindakan yang boleh diguna pakai tetapi saya rasa lebih baik rakyat Sabah yang menentukannya dari segi sokongan mereka … PKR pada asasnya telah mengucapkan salam perpisahan kepada sokongan banyak rakyat Sabah,” katanya mengulas pendedahan bahawa Tian Chua merupakan individu bertanggungjawab dalam mengatur pertemuan antara Nurul Izzah dan Jacel.

Pada Isnin, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan bahawa Tian Chua yang juga Anggota Parlimen Batu bertanggungjawab dalam pertemuan Nurul Izzah-Jacel, malah turut berperanan menjalankan tindakan secara halus dalam mengatur tuntutan ‘Kesultanan Sulu’ terhadap Sabah sebelum ini.

Terdahulu, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan menyaksikan perjanjian kerjasama antara kementerian itu dengan syarikat Nouvelles Visages (NV), yang antara lain akan menyediakan 100 penempatan latihan industri kepada pelatih Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di syarikat pengeluar produk kecantikan tersebut.

Beliau juga mempersoalkan motif pertemuan itu yang disfatkan bukan sebagai terserempak sehingga sukar untuk dielakkan berikutan posisi gambar diambil serta poster yang dipegang yang jelas menggambarkan tiada kesedaran atau rasa sensitif kepada rakyat Sabah yang menjadi mangsa serta anggota keselamatan yang terkorban.

“Kalau kita terserempak dengan orang dan kita tidak sempat nak elak dan gambar terserempak dengan seseorang individu itu diambil gambar, saya rasa ia boleh dimaafkan lagi tetapi apabila siap berselfie … saya fikir itu melukakan perasaan ramai pihak,” katanya.

Khairy berkata sama ada Tian Chua adalah dalang pertemuan itu atau sebaliknya, beliau berharap kedua-dua pimpinan PKR itu memohon maaf secara terus kepada mereka yang berkaitan, terutamanya kepada waris mereka yang terkorban tanpa perlu menyatakan apa-apa justifikasi.

Sebelum ini, Nurul Izzah yang juga Anggota Parlimen Lembah Pantai dilaporkan telah membuat permohonan maaf selepas gambarnya bertemu Jacel di Filipina pada 9 Nov lepas dimuat naik di laman Facebook mendapat kritikan, manakala semalam, Tian Chua pula menafikan beliau adalah dalang dalam pertemuan itu.

– BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan