Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,658

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Tindakan Tegas Terhadap Pihak Sebar Maklumat Pengebom Berani Mati Di Sabah – Polis

7:05pm 21/11/2015 Pak Roshan 544 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

polis sabah

KOTA KINABALU : Polis akan bertindak tegas terhadap mana-mana individu termasuk anggota polis yang terlibat menyebarkan maklumat mengenai kehadiran pengebom berani mati dari kumpulan Abu Sayyaf di sekitar negeri dan bandar raya ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata pihak polis memandang serius perkara itu dan tidak akan berkompromi berikutan maklumat itu menjadi viral di laman sosial, sehingga menimbulkan kebimbangan orang awam terhadap keselamatan negara.

Jalaluddin tidak menolak kemungkinan terdapat pihak atau individu tidak bertanggungjawab yang sengaja membuat andaian dan propaganda bagi menimbulkan panik dan kegusaran rakyat negeri ini.

“Saya minta kepada semua masyarakat (Sabah) jangan panik, jangan terpedaya dan jangan menokok tambah apa-apa maklumat tidak betul itu kepada semua pihak.

“Polis telah membuat laporan polis mengenai perkara itu dan kita juga sudah mengenal pasti siapa dalang tidak bertanggungjawab itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Deepavali warga polis Sabah di sini, Sabtu.

Jalaluddin berkata demikian bagi mengulas maklumat tersebar yang mendakwa kumpulan Abu Sayyaf menempatkan lapan pengebom mati di beberapa lokasi penting di Sabah khususnya sekitar bandar raya ini.

Beliau berkata Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa menerima pelbagai maklumat, tidak kira dari dalam mahupun luar negara, termasuk negara jiran, dan maklumat itu akan ditapis bagi memastikan kesahihannya.

“Tambahan pula dalam isu sekarang ini, Sabah ada sedikit ancaman daripada negara jiran yang melakukan jenayah rentas sempadan,” katanya.

Jalaluddin yang tidak mengatakan “benar” atau “tidak” maklumat disebarkan, bagaimanapun berkata, pihak polis akan sentiasa bersiap-siaga untuk menghadapi sebarang ancaman dan kemungkinan.

“Polis sentiasa bersedia dan kita tidak akan berdiam diri,” katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan