Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Tindakan Tegas Perlu Diambil Tangani Pencerobohan Rizab Riparian Sungai Kinabatangan

bungmokhtar

SANDAKAN: Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin mahu tindakan tegas diambil untuk mengosongkan kawasan rizab riparian di sepanjang Sungai Kinabatangan yang ditanam dengan kelapa sawit.

Beliau mendakwa banyak pihak khususnya pemilik ladang kelapa sawit menceroboh kawasan rizab riparian dan menghalang laluan hidupan liar dengan menanam tanaman itu hingga ke tebing sungai.

“Rizab riparian sungai mewujudkan laluan bagi hidupan liar bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain dan jika terdapat tanaman, ia sudah tentu menjejaskan pergerakan hidupan liar,” katanya dalam satu kenyataan di sini Isnin.

Rizab riparian merupakan kawasan hutan bersebelahan dengan saluran air seperti sungai, anak sungai, kolam, tasik, tanah paya, muara atau terusan yang menghubungkan hutan yang terpisah.

Bung Moktar berkata pencerobohan kawasan rizab riparian sepanjang Sungai Kinabatangan oleh peladang kelapa sawit turut menyebabkan bahan kimia hasil aktiviti perladangan seperti baja dan racun mencemari sungai.

Sehubungan itu, beliau meminta agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang mempunyai bidang kuasa pemuliharaan dan penguatkuasaan rizab riparian supaya mengambil tindakan menebang tanaman kelapa sawit yang sudah ditanam di kawasan itu.

Menurutnya jabatan terlibat antaranya Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hidupan Liar, Jabatan Tanah dan Ukur dan Jabatan Alam Sekitar.

Bung Moktar berkata penanaman semula pokok di kawasan rizab riparian sungai yang diceroboh ini merupakan langkah terbaik dalam mengekalkan habitat hidupan liar dan memastikan pemuliharaan khazanah sungai dilakukan dengan baik demi kepentingan generasi akan datang.

Komen


Berita Berkaitan