Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,664

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Tindakan tegas menanti polis bersekongkol bawa masuk PATI

7:08pm 07/10/2016 Pak Roshan 1037 views Berita Pilihan,Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd. Rashid Harun

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd. Rashid Harun

KOTA KINABALU: Polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap anggotanya yang didapati terbabit atau bersekongkol hingga menyebabkan pendatang tanpa izin mudah membolosi perairan negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd Rashid Harun, berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap apa juga pelanggaran integriti atau salah laku membabitkan anggotanya, lebih-lebih lagi berkaitan kedaulatan negara.

“Saya tidak nafikan ada pembabitan ‘orang dalam’ berhubung kes berkenaan, namun bagi peluang kepada pihak polis menjalankan siasatan secara terperinci,” katanya ditemui selepas merasmikan Majlis Penutupan Latihan Rapid Team Siri 2/2016 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan pembabitan ‘orang dalam’, dalam video yang tersebar luas baru-baru ini yang mendakwa warga Indonesia mudah memasuki Tawau dan mendarat di Batu-Batu dengan hanya membayar RM50 hingga RM100 kepada anggota penguat kuasa.

Abdul Rashid, berkata beliau juga mengadakan perbincangan dengan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) untuk memantau perkara itu secara serius.

“Apa yang dilaporkan dalam video itu tidak semuanya betul. Mana dakwaan yang didapati betul, akan diambil tindakan secara agresif agar ia tidak berulang,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, Latihan Rapid Team yang diadakan semalam mendedahkan anggota polis dengan pelbagai ilmu pertempuran.

Seramai 40 peserta lain-lain pangkat daripada pelbagai cawangan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berhampiran menjalani latihan itu selama tiga minggu sejak 9 September lalu.

Kebanyakan peserta adalah anggota yang bertugas di bahagian pejabat bertujuan melengkapkan mereka dengan keupayaan lain seperti anggota polis yang bertugas di lapangan. –  BH Online

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan