Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,653

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Tindakan Tegas Kepada Penduduk Buang Sampah Di Kota Kinabalu

6:13pm 23/07/2016 Pak Roshan 303 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

sampah2

KOTA KINABALU : Penduduk di Kota Kinabalu khususnya di Sembulan bakal dikenakan tindakan tegas jika didapati bersalah membuang sampah- sarap secara berleluasa sehingga menyebabkan pencemaran.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum berkata tindakan tegas itu adalah sebahagian daripada peruntukan undang-undang berkenaan pembuangan sampah sarap yang akan mula dikuatkuasakan pada Isnin depan.

Katanya langkah itu adalah untuk memastikan masalah kebersihan dapat diatasi di bandar raya ini khususnya di kawasan terbabit.

“Penguatkuasaan ini adalah lebih ketat. Jika seseorang didapati bersalah, mereka diwajibkan untuk membuat aktiviti khidmat masyarakat selain denda RM200 atau RM300,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Gotong Royong Sampah Sarap di Kampung Sembulan Tengah di sini hari ini.

Program disertai lebih 500 orang termasuk 46 agensi awam dan swasta itu dianjurkan oleh Mahkamah Kota Kinabalu menerusi Kumpulan Kerja Alam Sekitar dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Sementara itu, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Edward Yong Oui Fah ketika berucap merasmikan program itu berkata, penduduk bandar raya ini terutama di Sembulan perlu memberikan kerjasama kepada DBKK dalam memastikan kawasan berkenaan sentiasa bersih bagi mencapai matlamat ‘Sembulan Sifar Sampah’ sekaligus mengelakkan penularan wabak denggi.

Menurutnya, penduduk akan dikenakan denda lebih RM400 jika pegawai kesihatan yang membuat pemeriksaan mendapati kawasan kediaman mereka menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Saya juga mahu DBKK mengambil tindakan serius dalam memberikan tindakan undang-undang sebagai usaha memastikan kawasan Kota Kinabalu khususnya Sembulan sentiasa berada dalam keadaan bersih,” katanya.

Mengenai program itu, Yong yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru berkata gotong-royong seumpama itu adalah penting bagi memupuk semangat untuk mencantikkan dan membersihkan kawasan sekitar agar tidak wujud komen negatif daripada orang awam.

Turut hadir pada program itu ialah Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria dan Datuk Bandar DBKK Datuk Yeo Boon Hai.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan