Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

TINDAKAN PBS DAN STAR MENGHAIRANKAN: UPKO

KOTA KINABALU: Kesanggupan Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanahairku (Star) bekerjasama dalam Gabungan Bersatu Sabah (GBS) dengan Umno Sabah yang didakwa oleh mereka sebagai parti pembuli amatlah menghairankan, kata seorang pemimpin Upko.

Pengerusi Biro Komunikasi dan Multimedia Upko pusat merangkap Ketua Upko Beluran, Felix Joseph Saang berkata, tambah menghairankan lagi PBS dan Star sebelum ini turut menyatakan pendirian bahawa demi menguatkan kedudukan politik orang Sabah mereka tidak lagi ingin berada di bawah telunjuk Umno.

“Namun, Upko ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada PBS dan Star kerana akhirnya tidak lagi berselindung dengan konspirasi politik mereka sebelum ini dan secara terang-terang mengaku menjalin kerjasama politik melalui GBS,” kata Felix dalam satu kenyataan di sini.

“Ucapan syabas juga Upko sampaikan kepada Star yang telah terbukti hebat dalam membentuk platform politik … Star baru sahaja menubuhkan Gabungan Sabah dan sekarang mereka tinggalkannya untuk membentuk Gabungan Bersatu Sabah pula.

“Star memang terkenal dengan kebolehan untuk mengubah paksi politik mereka dengan begitu cepat dan kerap,” ujar Felix dengan nada sinis.

Manakala, tindakan PBS meninggalkan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk Gabungan Sabah kemudian GBS telah membuktikan bahawa tindakan Upko untuk keluar dari BN adalah tepat, kata Felix.

Namun begitu, dia berkata, walau apa sekalipun platform politik PBS dan Star, Upko berharap mereka benar-benar jujur dan ikhlas di dalam perjuangan membela dan memartabatkan kedudukan serta hak-hak orang Sabah.

Dalam pada itu, Felix juga mendakwa Umno Sabah seolah-olah bermain helah untuk memperdayakan orang-orang Sabah kerana masih lagi mengikut telunjuk Umno pusat (yang masih berada dalam BN) walaupun mereka (Umno Sabah) tidak lagi mengiktiraf kewujudan BN di negeri ini.

“Sebagai contoh, Ketua Perhubungan Umno Sabah yang baru, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor jelas dilantik oleh Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi setelah Datuk Seri Salleh Said Keruak difikirkan tidak sesuai untuk menerajui Umno Sabah.

“Upko berharap Umno Sabah dapat menjelaskan bagaimana mereka boleh berfungsi tanpa mengikut telunjuk dari Umno pusat,” katanya.

Walau bagaimanapun, Felix berkata Upko tetap berharap semua parti politik di Sabah terus mendahulukan kedudukan dan hak-hak orang Sabah.

“Upko menyeru semua parti politik bersama-sama bekerja keras untuk memastikan Sabah berada di arus perdana pembangunan politik, ekonomi dan sosio-budaya. Bagi Upko, kita akan terus mengutamakan suara rakyat Sabah dan mempertahankannya,” katanya.-SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan