Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Tindakan mahkamah akan diambil terhadap peniaga degil: KPDNKK

Severinus (kanan) diiringi Pengurus Kawasan Pasaran Giant, Daniel Ong (kiri) meninjau harga barangan kawalan yang dijual di pasaraya tersebut. – foto JIMMY TAN / sayangsabah
Severinus (kanan) diiringi Pengurus Kawasan Pasaran Giant, Daniel Ong (kiri) meninjau harga barangan kawalan yang dijual di pasaraya tersebut. – foto JIMMY TAN / sayangsabah

KOTA KINABALU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi amaran tindakan lebih tegas akan dikenakan terhadap peniaga yang masih berdegil melanggar peraturan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Pengarah KPDNKK Sabah, Severinus Tukah menegaskan bahawa, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang masih lagi tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Antara tindakan tegas yang akan diambil oleh KPDNKK ialah membawa kes ke mahkamah untuk pendakwaan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan 2015 di pasaraya Giant, Kolombong di sini hari ini.

Beliau berkata, tindakan tersebut adalah bagi melindungi pengguna daripada aktiviti peniaga yang tidak beretika dengan menaikkan harga barang kawalan melebihi harga maksimum untuk mengaut keuntungan berlebihan.

“Pegawai penguatkuasa dan pemantau KPDNKK akan ditempatkan di beberapa lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli belah termasuk pasar awam dari masa ke semasa,” katanya lagi.

Beliau juga meminta para pengguna dan orang ramai agar melaporkan segera kepada KPDNKK sekiranya terdapat peniaga yang gagal mematuhi peraturan tersebut untuk tindakan.

Bagaimanapun, beliau berkata bahawa setiap aduan rasmi yang dibuat perlu disertai dengan maklumat lengkap pengadu seperti nama, alamat dan nombor telefon bagi membolehkan pihak KPDNKK menghubungi kembali pengadu berkenaan sekiranya diperlukan.

Peniaga individu yang didapati melakukan kesalahan tersebut boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali oleh mahkamah. Manakala syarikat yang didapati melakukan kesalahan tersebut boleh dikompoun sehingga RM250,000 atau didenda sehingga RM500,000.

Individu atau syarikat yang didapati melakukan kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu untuk barangan terkawal masing-masing boleh dikenakan kompoun sehingga RM5,000 dan RM10,000 atau denda RM10,000 dan RM20,000 oleh mahkamah.    oleh Nuzir Andi Samsiar / sayangsabah

Komen


Berita Berkaitan