Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Australia Sanjung Usaha ESSCom

Sumber Foto : Esscom
Sumber Foto : Esscom

LAHAD DATU : Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia Dr Angela Macdonald menghargai kesungguhan pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dalam mengurus isu keselamatan maritim dengan penuh bijaksana melalui pelaksanaan perintah berkurung.

Macdonald, yang menyifatkan pelaksanaan itu sebagai berkesan dalam memerangi penjenayah rentas sempadan, khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), berkata langkah itu juga telah dapat mengembalikan keyakinan para pelancong terhadap tahap keselamatan di kawasan berkenaan.

“Kami amat berterima kasih kepada ESSCom kerana memberi kefahaman mengenai konsep pengoperasian, termasuk kaedah dan konsep pelaksanaan perintah berkurung di empat daerah,” katanya ketika berucap pada lawatan delegasi empat anggota dari pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia ke ibu pejabat ESSCom di sini, Khamis.

Ketibaan delegasi itu disambut Pengarah Komponen Laut ESSCom Laksamana Pertama Maritim M. Karunanithi, Pengarah Bahagian Perisikan ESSCom Datuk Md Rahim Mohammad serta pegawai-pegawai kanan ESSCom.

Turut serta dalam delegasi ialah Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Sabah Datuk Irene Benggon Charuruks.

Lawatan tersebut antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada rombongan itu mengenai ESSCom secara lebih dekat khususnya konsep dan pelaksanaan operasi pelbagai agensi secara bersepadu termasuk Bahagian Awam ESSCom.

Delegasi turut diberikan taklimat ringkas tentang konsep pengoperasian ESSCom dalam mengawal dan menjaga keselamatan perairan daripada diceroboh oleh penjenayah rentas sempadan termasuk kaedah dan konsep pelaksanaan perintah berkurung yang dikuatkuasakan dari daerah Sandakan hingga ke Tawau.

Sementara itu, Karunanithi berkata ESSCom sedang berusaha meningkatkan keupayaannya termasuk menempatkan beberapa radar berkeupayaan tinggi di kawasan-kawasan strategik serta menempatkan kapal tentera di tengah laut bagi memudahkan pemantauan dan kawalan keselamatan di perairan negara.

Beliau berkata ESSCom komited dan sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk menangani masalah penyeludupan dan penculikan, dan dalam masa sama menyusun strategi bagi menjamin kedaulatan dan keselamatan negeri ini sentiasa terjamin khususnya di ESSZone.

ESSCom meliputi 10 daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Kinabatangan, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Tawau dan Semporna.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan