Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Timbalan pendakwa raya di Tawau bebas, lepas tuduhan rasuah

TAWAU, 27 Ogos (Bernama) — Seorang Timbalan Pendakwa Raya di sini, hari ini dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen daripada tuduhan meminta wang suapan sebagai menarik balik kes yang dibicarakan di Mahkamah Majistret Tawau pada tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Abu Bakar Manat ketika membacakan keputusan itu berkata mahkamah mendapati pihak pembelaan oleh tertuduh Kamalia Yahdi, 34, berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Tertuduh dengan pertuduhan dibawah Seksyen 16 (a)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 didapati tidak bersalah serta dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan,” katanya.

Pada 19 Januari 2016, tertuduh yang bertugas di Jabatan Peguam Negara cawangan Tawau berhadapan dua pertuduhan dibawah Seksyen 16 (a)(b) serta 17 (a) Akta SPRM 2009 dan mengaku tidak bersalah.

Bagi pertuduhan pertama, Kamalia didakwa meminta suapan wang tunai RM50,000 daripada dua individu sebagai dorongan menarik balik kes dibicarakan di Mahkamah Majistret Tawau di Hotel Promenade pada pukul 5.20 petang, 15 Mei 2015.

Dalam perjumpaan ini, Kamalia telah meminta 50 (dan salah seorang daripada dua yang ditemui faham RM50,000) bagi menarik balik pertuduhan kes perbicaraan dan wang tersebut hendaklah diserahkan sebelum 21 Mei 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Kamalia didakwa menerima suapan RM40,000 daripada dua individu sama untuk kes sama di Hotel Promenade Tawau pada jam 9 malam pada 20 Mei 2015.

Bagaimana pun pertuduhan kedua digugurkan dan tertuduh dilepaskan semasa pendakwaan tanpa perlu membela diri.

Sementara itu, di mahkamah sama seorang lagi tertuduh, Chang Voon Kiat, 47, yang menjadi perantara Kamalia meminta dan menerima suapan wang tunai RM40,000, didapati bersalah dan dijatuhi hukuman dua tahun penjara mulai hari ini serta denda RM200,000.

Tertuduh bagaimanapun mahu membuat rayuan di Mahkamah Tinggi untuk penangguhan hukuman dan Hakim Abu Bakar bersetuju dan menetapkan Chang membayar deposit RM20,000 serta melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada 19 Januari 2016, Chang yang dituduh di Mahkamah Majistret Tawau mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(b) Akta SPRM 2009.

Pertuduhan pertama, Chang didakwa meminta suapan wang tunai RM40,000 pada jam 2.10 petang, 20 Mei 2015 di Kuhara Court Apartment Tawau

Bagi pertuduhan kedua, Chang didakwa menerima suapan wang tunai RM40,000 pada jam 10 malam, tarikah yang sama di Hotel Promenade Tawau.

Pendakwaan bagi kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rozana Abd Hadi bersama Pegawai Pendakwa SPRM Awang Samsul Baharam Bungso, manakala Kamalia diwakili peguambela Zahir Hussin Ahmad Shah.

–BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan