Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,637

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Tiga Rakyat China Ditangkap Di Keningau Miliki Gaharu, Taring Haiwan

8:43am 18/08/2016 Pak Roshan 3230 views Berita Pilihan,Jenayah,Mutakhir
Foto : Jabatan Perhutanan Sabah

Foto : Jabatan Perhutanan Sabah

KOTA KINABALU : Tiga rakyat China ditangkap di Keningau, kira-kira 130 kilometer dari sini, selepas Jabatan Perhutanan mendapati mereka memiliki gaharu dan taring hidupan liar.

Mereka ditangkap di sebuah hotel dalam serbuan sepasukan pegawai jabatan itu, yang diketuai Pegawai Kanan Perhutanan Wilayah Perhutanan Keningau Ramli Majid, dengan dibantu polis Keningau pada kira-kira 12.30 tengah hari semalam.

Dalam serbuan itu, pihak berkuasa merampas sebanyak 13 beg plastik mengandungi gaharu dan taring hidupan liar yang tidak diketahui jenisnya.

“Turut dirampas wang sebanyak RM75,704.70 dan 3,720 Yuan serta sebuah kereta Proton Saga yang dipercayai digunakan suspek untuk tujuan pengangkutan serta peralatan bagi mendapatkan gaharu, tiga pasport Republik Rakyat China dan enam telefon bimbit,” kata Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) dalam kenyataan di laman sesawang rasmi jabatan itu Rabu.

Suspek berkenaan akan didakwa mengikut Enakmen Hutan 1968 dan Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

Menurut jabatan itu, gaharu dan taring yang dirampas daripada suspek disyaki dibeli di kawasan pedalaman daripada pemburu haram manakala wang tunai yang begitu besar jumlahnya bertujuan membeli tumbuhan dan haiwan dilindungi daripada pemburu haram sama ada rakyat tempatan atau asing.

“Tarikan wang segera, jaminan pasaran termasuk di luar negara, akan memberi lebih banyak tekanan terhadap hidupan liar yang dilindungi di Sabah. Kegiatan memburu hidupan liar secara haram ternyata menghasilkan pendapatan lumayan sekarang terutamanya apabila pembeli boleh datang dan pergi dengan sesuka hati, tanpa dikesan.

“Ini bermakna satu rangkaian pemburu haram antarabangsa yang aktif ada di Sabah terutamanya bagi mendapatkan gaharu,” kata kenyataan itu.

Jabatan itu juga berkata adalah penting untuk meningkatkan lagi kemampuan penguatkuasaan dan menangkap mereka yang melakukan kesalahan, melalui latihan khas.

Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) dan JPS kini di peringkat akhir merangka satu program dan memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi membawa jurulatih antarabangsa ke Sabah untuk memperluas pasukan khas Jabatan Perhutanan dan organisasi lain.

“Jabatan Perhutanan ingin mengucapkan terima kasih kepada polis dan orang ramai yang memberi maklumat kepada kami. Pada pendapat kami, aktiviti berburu secara haram adalah masalah yang lebih serius di Sabah berbanding menebang hutan secara haram sebelum ini,” kata kenyataan itu.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan