Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,499

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Tiga Muzium Jadi Tarikan Utama Pelancongan Di Timur Sabah

12:08pm 13/10/2015 Pak Roshan 2243 views Mutakhir,Rencana

batu-tulug

SANDAKAN : Tiga muzium, yang terdapat di daerah ini dan Kinabatangan iaitu Muzium Warisan Sandakan, Rumah Agnes Keith dan Agop Batu Tulug di Kinabatangan menjadi antara tarikan utama pelancongan.

Dalam tempoh Januari hingga Ogos lepas, seramai 26,167 pengunjung dari luar dan dalam negara mengunjungi tiga muzium yang terletak di Wilayah pantai timur Sabah.

Kurator Muzium Wilayah Pantai Timur, Juanis Ogak berkata daripada jumlah itu 1,402 adalah pelancong asing dan 24,765 pelancong tempatan.

Bagi Rumah Agnes Keith ia mencatat 13,088 pengunjung, Muzium Warisan Sandakan (7,867) manakala Agop Batu Tulug (5,212).

RUMAH AGNES KEITH

????????????????????????????????????

????????????????????????????????????

Rumah Agnes Keith adalah sebuah rumah kerajaan peninggalan bekas pemerintahan kolonial British yang dikenali sebagai ‘Newlands’ dan didiami oleh Agnes Keith bersama suaminya Henry Keith seorang Kurator Hutan.

Beliau adalah penulis buku dari Amerika Syarikat yang terkenal dengan buku Land Below The Wind menceritakan mengenai kehidupan masyarakat tempatan semasa pemerintahan British sehingga memasyhurkan Sabah di mata dunia.

Rumah ini menjadi antara rumah kayu pertama dibina oleh pentadbir British. Keluarga Agnes Keith mendiami rumah itu dari tahun 1930 sehingga 1942 sebelum ia musnah semasa Perang Dunia Kedua.

Namun, pada tahun 1946 pihak Syarikat Berpiagam Borneo Utara British membina semula rumah itu di lokasi asalnya dengan ciri-ciri seni bina yang sama.

Keluarga Keith terus mendiami rumah kayu itu sehingga 1952. Selepas itu ia didiami oleh pengganti Henry Keith iaitu konservator hutan, pegawai perhutanan dan pekerja sukarela dari negara luar.

Selepas tahun 1963, rumah berkenaan dibiarkan tanpa berpenghuni, sehinggalah pihak Jabatan Muzium Sabah dengan kerjasama Jabatan Muzium dan Antikuti membaikpulih rumah tersebut pada 2001.

Tujuan pembinaan pemuliharaan dan pemeliharaan rumah itu adalah untuk mengenang jasa Agnes Keith yang memperkenalkan Sabah kepada dunia luar melalui penulisan-penulisan dalam buku yang dihasilkan oleh beliau.

Juanis berkata rumah tersebut dijadikan sebagai produk pelancongan kerana keunikan reka bentuk senibina kolonialnya.

Beliau berkata sebanyak RM1.7 juta diperuntukkan oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti untuk pemugaran dan restorasi Rumah Agnes Keith.

MUZIUM WARISAN SANDAKAN

mws

Sementara itu, Juanis berkata Muzium Warisan Sandakan pula mempamerkan semua sejarah berkaitan daerah ini yang terdiri daripada dua bahagian mengikut kronologi masa.

Bahagian pertamanya mempamerkan sejarah awal Sandakan, bahan dagang tukar ganti, di bawah pentabdiran syarikat berpiagam Borneo Utara British, di bawah matahari terbit (1942-1945), di bawah pentadbiran British (1945-1946) dan zaman pemerintahan koloni (1946-1963).

Bahagian keduanya mempersembahkan pameran selepas kemerdekaan (1963-1980), kemudahan awam, tokoh-tokoh tempatan, tokoh-tokoh sukan, tapak bangunan dan monumen bersejarah, pemandangan Bandar Sandakan, ekonomi, sosio budaya dan sejarah semulajadi.

Beliau berkata objektif utama pameran ini diadakan ialah bagi membuka ruang kepada masyarakat Sandakan untuk menderma bahan-bahan budaya tradisi dan bersejarah bagi merealisasikan penubuhan Muzium Warisan Sandakan, memupuk kesedaran kepentingan Sandakan sebagai penyumbang utama perkembangan sejarah kemajuan sosio budaya dan sosio ekonomi Sabah.

Muzium Warisan terletak bersebelahan bangunan Majlis Perbandaran Sandakan turut menempatkan galeri yang dikenali sebagai ‘Safari di Sandakan’ yang mempamerkan hasil fotografi pengembara Amerika Syarikat Martin dan Osa Johnson ketika kerajaan Borneo Utara.

Muzium ini dibuka setiap hari bermula 9.00 pagi hingga 5.00 petang dan masuk adalah percuma.

MUZIUM AGOP BATU TULUG

batu-tulug

Dalam pada itu di Kinabatangan, Muzium Agop Batu Tulug turut menjadi tarikan pelancong di daerah Kinabatangan kerana keistimewaan sejarah guanya sebagai perkuburan keranda purba sejak kira-kira 700 hingga 900 tahun lepas.

Juanis berkata amalan pengkebumian keranda ini adalah sesuatu yang lazim di Sabah dengan Gua Agop Batu Tulug mengandungi lebih 125 keranda purba, menjadikannya warisan unik budaya Sabah.

Muzium ini terletak di Kampung Batu Puteh, kira-kira 41 kilometer dari Pekan Kota Kinabatangan atau 80 kilometer dari Bandar Sandakan.

Ia adalah sebuah bukit batu kapur 40 meter tinggi dan adalah sebahagian daripada pembentukan batu kapur Labang, 20-25 juta tahun dahulu.

Terdapat tiga gua utama di Agop Batu Tulug iaitu Agop Sawat (gua atas), Agop Lintanga (gua tengah) dan Agop suriba (gua lebih rendah).

TARIKAN PELANCONGAN BERASASKAN WARISAN

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Pelancongan Sandakan Johnny Lim berkata Rumah Agnes Keith dan Muzium Warisan Sandakan menjadi antara tarikan utama pelancongan daerah ini yang bertemakan warisan.

Dua lokasi itu juga termasuk dalam 10 lokasi Laluan Jejak Warisan Sandakan.

Laluan Jejak Warisan Sandakan bermula dari Masjid Jamek Sandakan yang akan melalui beberapa tempat warisan bersejarah antaranya Tugu William Prayer, Tugu Peperangan Sandakan, Tangga Langkah Seribu, Rumah Agnes Keith, Muzium Warisan Sandakan, Kuil Cina Sam Sing Kung dan Gereja St. Michael.

Beliau berkata produk pelancongan berasaskan warisan penting kepada daerah ini bagi menarik kehadiran pelancongan dalam dan luar negara.

Menurutnya untuk program jangka panjang, persatuan itu merancang untuk bekerjasama dengan pihak muzium dan galeri untuk memelihara artifak warisan.

BERNAMA

 

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan