Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,648

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Tidak Boleh Ingkar Masalah Khilaf?

8:48am 28/02/2016 Zakir Sayang Sabah 20 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Khilaf dalam kalangan ulama’ pada asalnya adalah suatu keluasan Syariah dan rahmat bagi umat ini. Ia akan menjadi sempit dan susah apabila dimasuki oleh hawa nafsu, atau mementingkan diri sahaja, atau berlaku tanpa mengikut jalan yang dibenarkan oleh Syariah. Pada ketika itu ia akan bertukar kepada perpecahan, perbalahan, persengketaan dan menimbulkan huru-hara di kalangan ummah.

Perbincangan kali akan mengupas tajuk Qaedah yang masyhur di kalangan para pendakwah iaitu;

“Tidak boleh ingkar masalah khilaf!”

Ungkapan “Tidak boleh ingkar masalah khilaf” sangat masyhur, sehingga sebahagian ulama menjadikannya sebagai satu Qaedah dalam fiqh dan memasukkannya dalam karangan tentang Qawaed Al-Fiqh. Tetapi sebahagian pendakwah atau ustaz memahaminya dengan cara yang silap. Kononnya asalkan ia dikira sebagai satu pendapat, maka automatik permasalahan tersebut dilabelkan sebagai permasalahan khilaf yang tidak boleh diingkari.

Inilah ungkapan yang kadangkala membantut sesuatu perbincangan atau penilaian terhadap kesahihan sesuatu pendapat atau amalan. Kata-kata ini kerap dijadikan benteng untuk mempertahankan satu-satu pendapat sekalipun pendapat itu tidak muktabar dalam syariat bahkan hujahnya semata-mata kerana ada khilaf.

Para ulama’ yang memperhalusi (muhaqqiq) kepada masalah ini mengatakan bahawa mengambil kaedah secara umum adalah tidak tepat, bahkan ia sebenarnya adalah “Tidak boleh ingkar masalah IJTIHAD”.Iaitu masalah yang tidak terdapat dalil atau nas yang soreh (jelas) kepada masalah tersebut.

Dhabit masalah Ijtihadiyyah; ialah satu hukum yang dikeluarkan dengan cara ijtihad, kerana tiada ijma’ atau nas yang qat’i dalam perkara tersebut. Jika ada nas sekalipun, ianya bersifat zhanni, ertinya boleh diterjemahkan kepada banyak kemungkinan dan ditakwil. (Ini kerana jika sudah ada nas yang jelas, tiada lagi ijtihad dalam perkara tersebut!)

Kita perlu memahami bahawa masalah khilaf terbahagi kepada dua kategori;

Khilaf yang harus diperselisihkan dan masalah khilaf yang tidak harus diperselisihkan (masalah Ijtihad). Atau dengan kata lain, perbezaan antara khilaf yang muktabar dan khilaf yang tidak muktabar.

PEMBAHAGIAN KHILAF

Pertama:
Khilaf Yang Muktabar,
iaitu masalah-masalah yang dibenarkan berijtihad padanya. Secara dasar, dalam masalah-masalah yang khilafnya muktabar, diharuskan berpegang kepada mana-mana pendapat samada melalui pentarjihan dengan dalil, atau taqlid kepada ulama yang muktabar.

Merujuk kepada jenis khilaf ini, Sufyan Al-Tsaury berkata, “Apa-apa yang diperselisihkan oleh fuqaha, aku tidak melarang seorang pun dari kalangan sahabat-sahabatku untuk berpegang dengannya”. (Al-Faqih Wa Al-Mutafaqqih 2/69).

Ibn Taimiyyah berkata, “Dalam masalah-masalah ijtihadiyyah, sesiapa beramal dengan pendapat sebahagian ulama, tidak boleh diingkari”. (Majmu’ Fatawa 20/207).

Para ulama’ membahagikannya pula kepada tiga:

1- Khilaf Yang Pelbagai (Tanawwu’).

Perbezaan yang berlaku dalam perkara-perkara yang disyariatkan itu berbagai-bagai, cuma ulama’ berbeza pendapat tentang yang lebih afdal dan patut diutamakan sahaja seperti haji Qiran, Tamaatu’ dan Ifrad. Setiap jenis haji ini sah dilakukan walaupun mereka berselisih pendapat tentang yang lebih afdal. Demikian juga menyaringkan Basmalah dan memperlahankannya, kedua-duanya harus yakin tidak membatalkan solat walaupun sebahagian ulama’ mengatakan sunat membaca nyaring dan sebahagian ulama’ lain menganggapnya makruh.

2- Khilaf Yang Harus Dan Dapat Diterima Akal (Maqbul).

Khilaf ini ialah perbezaan yang berlaku di kalangan ulama’ mujtahidin dalam masalah ijtihadiyyah iaitu masalah yang tidak terdapat nas qat’iy, iaitu yang tidak sabit padanya dalil atau nas syara’.

Ia dinamakan “Masalah Ijtihadi”. Ini kerana setiap ulama’ yang berbeza pandangan telah beramal atau mengeluarkan fatwa dengan kefahaman yang mereka ijtihadkan.

Maka pada masalah ini tidak boleh ingkar orang melakukan amalan mengikut ijtihadnya, dan tidak boleh juga memaksa orang lain menerima pandangan kita, kerana setiap mujtahid tidak menyalahi nas Syara’, bahkan mereka hanya menyalahi ijtihad mujtahid yang lain.

Namun demikian khilaf ini dapat diterima dengan syarat-syarat berikut:

  1. Hendaklah khilaf itu berlaku di kalangan ulama’ fiqh dan orang yang berkelayakan dalam agama.
  2. Hendaklah ijtihad dan khilaf mereka itu dalam masalah far’iyyah yang tiada dalil-dalil qat’iy berhubung
    dengan hukumnya.
  3. Hendaklah tujuan masing-masing untuk mencapai kebenaran dan yang betul.
  4. Setiap orang faqih itu telah mencurahkan seluruh tenaganya bagi mencapai kebenaran. Khilaf seperti ini juga berlaku di kalangan para sahabat dan tabi’in, namun demikian tidak ada seorang pun dikalangan mereka dicela kerana perbezaan yang berlaku itu. Ini disebabkan masing-masing bekerja untuk mencari kebenaran, kalau tersalah ketika menuntut dan mencari kebenaran itu mereka tidak dipersalahkan bahkan dimaafkan.

Ini jelas daripada sabda Rasulullah s.a.w:

Ertinya: “Apabila seorang hakim hendak menjatuhkan hukuman, lalu ia berijtihd dan betul ijtihadnya, nescayamendapat dua pahala, apabila tersalah ijtihadnya maka ia mendapat satu pahala”. [HR: Bukhari & Muslim]

3- Khilaf Yang Mardud (Tidak Diterima).

Masalah khilafiyah yang sabit padanya dalil atau nas-nas dari Al-Quran dan As-Sunnah yang menunjukkan kepada kesahihan salah satu dari dua pandangan (Qaul). Maka wajib ketika itu kita mengikut Nas dan mengingkari golongan yang menyalahinya, serta diberikan keuzuran kepada golongan yang tersalah dalam ijtihad mereka, sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis Nabi SAW.

Penjelasan kepada jenis khilaf ini;

Khilaf Yang Tidak Muktabar, iaitu Khilaf Yang Keji lagi Dicela.

Ini berpunca daripada empat sebab:

  • Kejahilan
  • Kezaliman dan penderhakaan
  • Mengikut hawa nafsu
  • Menyalahi manhaj Nabawi dalam penerimaan hukum Syara’ dan cara mengamalkannya.

Pendapat yang tidak muktabar ialah pendapat yang sudah jelas kebatilannya, dan dipastikan kesilapannya berdasarkan dalil-dalil yang sahih dan nyata. Lalu kita putuskan bahawa ia adalah pendapat yang silap tanpa ada sebarang keraguan.

Khilaf yang tidak muktabar seperti ini mestilah diingkari dan diperjelaskan kedhaifan atau keganjilannya, serta diterangkan kesahihan pendapat yang lain dengan hujah. Jadi, kaedah “Tidak boleh ingkar masalah khilaf” tidak meliputi jenis khilaf ini.

Untuk lebih jelas lagi kita nukilkan pandangan Imam Al-Izz Ibn Abd Al-Salam rahimahullah yang menjelaskan perbezaan antara dua jenis khilaf ini.

Katanya:

“Orang yang mengambil pendapat yang diperselisihkan, terdapat dua situasi.

Pertama:
Masalah khilaf itu ialah masalah yang mesti dibatalkan hukumnya. Dalam permasalahan ini tidak ada jalan untuk bertaqlid padanya disebabkan ia adalah satu kesilapan semata-mata.

Kedua:
Masalah khilaf itu ialah masalah yang tidak dibatalkan hukumnya. Maka tidak salah melakukannya atau meninggalkannya, jika seseorang itu bertaqlid dengan sebahagian ulama.” (Qawaed Al-Ahkam 2/371).

Maka sebelum mengingkari sesuatu masalah atau melarang orang lain mengingkari sesuatu masalah, kita mestilah berilmu dan dapat membezakan antara dua jenis khilaf ini. Selepas itu barulah kita dapat memasukkannya dalam qaedah ini.

Berkata Sheikh Asy-Syaukani Rahimahullah:

Kata-kata ini, iaitu “Tidak boleh ingkar masalah khilaf”, mungkin akan menjadi penghalang yang besar kepada menyekat urusan amar makruf dan nahi munkar. Dua urusan ini kami telah perkenalkan dan kedudukannya telah kami nyatakan. Ia telah wajib dengan kewajipan yang Allah pwajibkan demikian juga Rasul-Nya SAW ke atas ummat ini.

Kesimpulannya, bukan semua masalah khilaf tidak boleh diingkari. Ada masalah khilaf yang boleh malahan mesti diingkari, dan ada masalah khilaf yang tidak boleh diingkari, iaitu seperti masalah-masalah ijtihadiyyah yang disebut di atas tadi.

Demikian sedikit penjelasan tentang kepentingan memahami masalah yang penting ini, agar masyarakat dapat memahami jenis khilaf dan tidak tersalah dalam ketegasan menghalang suatu yang khilaf muktabar atau terlalu erlembut sehingga tidak ada lagi amar makruf dan nahi munkar, kerana tidak boleh ingkar bukan bermakna tidak boleh bagi nasihat untuk menerima yang terbaik dan mengikut kata ulama’ “Keluar dari perkara khilaf itu lebih baik”. Wallahu a’lam.

(Sumber: abuanasmadani.com, oleh Dr. Abdul Basit Abdul Rahman)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan