Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,728

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Tian Chua Kekal Bebas Tuduhan Menghasut Isu Pencerobohan Lahad Datu

4:05pm 02/03/2016 Pak Roshan 28 views Mutakhir,Nasional

Tian-Chua1

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini mengekalkan keputusan yang membebaskan anggota Parlimen Batu Tian Chua daripada pertuduhan menghasut berhubung kenyataannya berkaitan insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, tiga tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Nordin Hassan menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di sini pada 14 Nov 2014 yang melepas dan membebaskan Tian Chua, atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 52, daripada pertuduhan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim, ketika ditanya sama ada akan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu, berkata beliau akan mendapatkan arahan lanjut daripada ketuanya.

Nordin dalam penghakimannya berkata mahkamah mendapati pendakwaan gagal mengemukakan bukti bahawa Tian Chua mengeluarkan perkataan menghasut berkaitan insiden pencerobohan di Lahad Datu dalam satu portal berita.

Katanya tiada bukti kukuh menunjukkan artikel yang ditulis dalam portal berita Keadilan Daily.com oleh seorang wartawan portal berita itu, Siti Nooraishah Geoffery, mempunyai kaitan dengan Tian Chua.

Nordin berkata mahkamah mendapati bekas wartawan portal itu dalam keterangannya sebelum ini di Mahkamah Sesyen menyatakan Tian Chua tidak menyebut secara spesifik perkataan “menakutkan-nakutkan rakyat” dan “serangan tembak-menembak”, sebaliknya diolah oleh subeditor.

Katanya Siti Nooraishah dalam keterangannya sebelum ini menyatakan ayat yang terkandung dalam artikel terbabit adalah hasil perbualan telefonnya dengan Tian Chua tetapi saksi utama pihak pendakwaan itu tidak merekod perbualan berkenaan.

“Dengan itu, rayuan pihak pendakwaan ditolak dan keputusan hakim Mahkamah Sesyen dikekalkan,” kata Nordin.

Pada 14 Nov 2014, Hakim Norsharidah Awang melepas dan membebaskan Tian Chua tanpa dipanggil membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap anggota Parlimen Batu itu.

Tian Chua didakwa membuat kenyataan kononnya pencerobohan di Lahad Datu adalah konspirasi terancang UMNO untuk mengalih perhatian dan menakut nakutkan rakyat.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Fraser Business Park, Jalan Metro Pudu, off Jalan Yew di sini pada kira-kira 11 pagi 1 Mac 2013 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.

Pertuduhan itu membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, dan penjara lima tahun bagi kesalahan seterusnya.

Tian Chua yang hadir pada prosiding hari ini diwakili peguam N. Surendran dan Latheefa Koya. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan