Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Tiada ruang untuk golongan prejudis

Musa Aman (tengah) bersama barisan Kabinet negeri menunjukkan ucapan Tahun Baru Cina yang bakal dirayakan masyarakat Tiong Hua pada 19 Februari ini. -foto JKM
Musa Aman (tengah) bersama barisan Kabinet negeri menunjukkan ucapan Tahun Baru Cina yang bakal dirayakan masyarakat Tiong Hua pada 19 Februari ini. -foto JKM

KOTA KINABALU – Tiada ruang untuk prejudis perkauman dan penyebab perbalahan agama di Sabah, sebaliknya semua pihak perlu sentiasa mendoakan agar keharmonian di negeri ini akan tetap utuh dan padu sepanjang masa.

Dalam perutusan Tahun Baru Cina, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman menegaskan, budaya dan tradisi saling menghormati dan memahami antara satu sama lain merupakan teras 1Malaysia yang telah lama diamalkan di Sabah.

“Walau bagaimanapun, seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, adalah amat mengecewakan apabila terdapat kumpulan serta individu tidak bertanggungjawab yang cuba memusnahkan keamanan, keharmonian dan perpaduan yang telah kita kecapi sekian lama.

“Sehubungan itu, kita perlulah sentiasa berhati-hati dan tidak membenarkan diri kita untuk menjadi ahli dan membuat tindakan yang boleh membawa kepada ketegangan yang tidak perlu, terutama apabila isu berkenaan berkaitan dengan kaum dan agama.

“Ingin saya tegaskan bahawa tidak ada ruang untuk prejudis perkauman dan perbalahan agama di Sabah, dan kita sentiasa mendoakan agar keharmonian di negeri ini akan tetap utuh dan padu,” katanya.

Musa berkata, sehubungan itu rakyat seharusnya mencari nilai atau titik kebersamaan yang menyatukan mereka sebagai rakyat Malaysia dan dalam masa sama perlu menyuburkan semangat muhibah antara satu sama lain.

Justeru, beliau menambah, seperti tahun sebelumnya, sambutan Tahun Baru Cina mampu dijadikan platform untuk menyemarakkan lagi lagi hubungan sesama rakyat berbilang agama dan kaum menerusi tradisi kunjung-mengunjungi.

“Saya ingin memberi jaminan kepada masyarakat Cina di Sabah bahawa sokongan kami adalah berterusan ke arah pembangunan dan pertumbuhan sekolah Cina, kuil dan aktiviti kebudayaan.

“Kerajaan negeri akan terus memberikan bantuan kewangan untuk sekolah Cina dan kuil. Inilah janji kami kepada masyarakat Cina. Pada masa yang sama, kita juga akan terus menyokong pertubuhan Cina bukan kerajaan yang berusaha ke arah memajukan aktiviti pendidikan dan kebajikan. Kita menyedari bahawa pendidikan adalah sangat penting kepada masyarakat Cina dan kita akan terus membantu berdasarkan kemampuan yang boleh,” ujarnya.

Musa berkata, kerajaan negeri juga memberi jaminan untuk memahami isu-isu yang dibangkitkan oleh komuniti perniagaan dan perdagangan di Sabah dan dalam masa sama sentiasa mengkaji permintaan dan cadangan yang dibuat.

“Kita adalah sebuah kerajaan yang prihatin dan mengambil berat terhadap rakyat. Semua langkah dan tindakan yang diambil adalah demi untuk faedah dan kebaikan rakyat. Kita sedar bahawa ramai orang mungkin belum memahami sepenuhnya tentang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

“Justeru kita telah sedang dan akan mengambil tindakan untuk memberi pemahaman kepada rakyat tentang GST. Kerajaan juga akan memastikan bahawa tidak terdapat mana-mana pihak mengambil kesempatan daripada pelaksanaan skim cukai ini,” jelas beliau. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan