Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Tiada niat jadi PM – Rafizi

Mohd Rafizi Ramli

 

SANDAKAN: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menegaskan beliau tiada niat untuk menjadi Perdana Menteri apabila menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu.

Sebaliknya, beliau berkata langkah itu adalah satu cara untuk menyokong Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya dapat menjadi Perdana Menteri yang terbaik apabila mengambil alih jawatan berkenaan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kalau Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri nanti, dia tiada masa untuk melihat siapa yang sehaluan dengannya. Dia tidak perlu Timbalan Presiden yang sibuk nak jadi Perdana Menteri.

“Sebaliknya, beliau perlukan Timbalan Presiden dan Naib Presiden yang tahu bahawa semua akan memikul beban dalam menjadikannya seorang Perdana Menteri yang terbaik kelak,” katanya berucap pada program Bicara Reformasi di sebuah hotel di sini, hari ini.

Rafizi yang berdepan dengan penyandang Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali pada pemilihan PKR kali ini, berkata tidak terlintas dalam fikiran beliau untuk menjadi Perdana Menteri sampai bila-bila.

Sehubungan itu, Rafizi mengingatkan ahli PKR untuk memilih pemimpin yang tidak mendambakan jawatan, sebaliknya menyokong aspirasi ketua pimpinan pada pemilihan parti itu nanti.

Mengulas lanjut kepada pemberita mengenai ucapannya itu, beliau berkata ia adalah pesanan secara umum kepada pemimpin dan ahli PKR.

“Kepada mana-mana pimpinan parti, di Pusat dan ahli di bawah, bahawa kita mesti tumpukan untuk bantu parti melaksanakan agenda reformasi terutama apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

“Bukan soal apa jawatan atau cita-cita setiap kami. Sudah tentu ada ahli yang nak jadi Perdana Menteri, menteri. Jadi, saya mahu sampaikan mesej yang jelas bahawa kita ada tugas yang besar dan perlu membantu Anwar.

“Cita-cita masing-masing tidak boleh menjadi batu penghalang ataupun memperlahankan usaha dalam melaksanakan janji reformasi yang kita buat selama ini,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Fuziah Salleh yang menyuarakan sokongan kepada beliau sebagai Timbalan Presiden ketika berucap pada program hari ini, Rafizi berkata ia perkara biasa dalam mana-mana parti.

“Fuziah merasakan lebih sesuai menyatakan secara terbuka siapa yang beliau sokong asalkan jangan salah guna kuasa, rasuah atau ugut. Saya rasa itu pilihan masing-masing,” katanya. -Oleh Hazsyah Abdul Rahman/BH Online

Komen


Berita Berkaitan