Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Tiada maaf bagi penceroboh kawasan perairan Sabah- Musa

KOTA KINABALU: “Tiada maaf dan kita tidak akan berkompromi dan menangkap pihak yang menceroboh kawasan perairan Sabah.”

Demikian ditegaskan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh ADUN Kapayan Dr. Edwin Bosi berhubung tindakan yang dikenakan terhadap individu yang menceroboh kawasan perairan negara.

Musa menyatakan, pihak anggota keselamatan sentiasa membuat pemantauan di kawasan perairan Sabah dengan memastikan tidak ada pihak yang cuba menceroboh kawasan perairan negeri ini.

“Sebelum ini telah ada tangkapan yang dibuat dan bot-bot yang terlibat juga kita telah rampas,”katanya ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-5 DUN Sabah yang ke-14, di sini hari ini.

Menjawab soalan yang dikemukan oleh ADUN Bongawan Datuk Mohamad Alamin berhubung langkah yang telah diambil pihak ESSCOM bagi menangani ancaman kemasukan warga asing, beliau menyatakan ESSCOM telah mengambil beberapa langkah untuk mempertingkatkan keselamatan kawasan perairan.

“Sejak berlaku pergolakan di kepulauan Marawi, Filipina, ESSCOM telah menjalankan sebanyak 6,188 pemeriksaan dan melakukan sejumlah 232 tangkapan semasa operasi bersepadu di kawasan darat ESSZONE.”

“ESSCOM juga telah mempergiatkan pemantauan pemeriksaan dan melakukan beberapa tangkapan di kawasan laut oleh agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan di kawasan ESSZONE semasa arahan perintah berkurung dikuatkuasaan dari bulan Mei hingga Jun tahun ini,”katanya.

Musa turut menyatakan, tindakan langkah jangka masa panjang juga telah diambil dengan melaksanakan hubungan tiga hala yang dikenali sebagai Trilateral Cooperative Agreement (TCA) antara negara Filipina, Indonesia dan Malaysia.

Tambah beliau, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah Markas Angkatan Tugas Bersama 2 juga turut membuat penambahan aset di kawasan operasi OP PASIR, mengoperasikan sebanyak 13 buah radar di sepanjang Perairan Kudat hingga ke perairan Danawan serta mengoptimumkan pengoperasian tiga buah Sea Basing iaitu Bunga Mas 5 di perairan Kudat, Kapal Auksilari Tun Azizan di perairan Pulau Taganak dan Pelantar Laut Tun Sharifah Rodziah di perairan Beting Bodgaya di sekitar perairan Pulau Bohey Dulang.-Oleh Leolerry Lajius/Sayang Sabah

Komen


Berita Berkaitan