Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Tiada Kuota Tetap Pengeluaran Permit Tangkap Ikan Ketika Perintah Berkurung

tiada jaminan

TAWAU — Komander Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCom) Datuk Abdul Rashid Harun berkata tiada kuota ditetapkan bagi pengeluaran permit menangkap ikan di kawasan perintah berkurung untuk nelayan tempatan.

Pengeluaran permit kepada nelayan dan pengusaha bot terpulang kepada budi bicara Pesuruhjaya Polis Sabah dan Ketua Polis Daerah di kawasan enam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang terlibat.

“Oleh itu saya minta mana-mana nelayan atau pengerusi persatuan nelayan yang mempunyai sebarang kemusykilan agar berhubung dengan Ketua Polis Daerah di kawasan masing-masing untuk selesaikan masalah yang timbul,” kata Abdul Rashid.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama pengerusi-pengerusi persatuan nelayan kawasan ESSZone di Pejabat Gabungan Persatuan Nelayan Tawau di sini, pada Selasa.

Pada masa yang sama Abdul Rashid sekali lagi mengulangi gesaannya agar para nelayan tempatan dan pengusaha bot memberi kerjasama dengan mematuhi arahan perintah berkurung sepanjang pelaksanaannya hingga 17 Ogos ini.

“Saya berharap nelayan berkenaan dapat memberi kerjasama dan ketika perjumpaan tadi kami telah melakukan banyak perbincangan dan ia membuahkan hasil apabila kita saling memahami tugas masing masing,” katanya.

Beliau berkata ketika perjumpaan itu terdapat beberapa usul dan cadangan daripada pengerusi persatuan nelayan yang hadir antaranya meminta kawasan tiga batu nautika yang ditetapkan diperluaskan lagi.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Persatuan Nelayan Tawau, Arsani Arsat berkata perbincangan yang diadakan itu dapat membantu para nelayan memahami dengan lebih lanjut mengenai perintah berkurung berkenaan.

“Saya berharap para nelayan yang turut serta dalam perjumpaan ni dapat penjelasan terbaik daripada pihak ESSCom mengenai arahan perintah berkurung itu,” katanya.

Perintah berkurung itu merangkumi daerah Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau berikutan serangan kumpulan bersenjata ke atas dua anggota polis marin di Pulau Mabul, Semporna pada 12 Julai.

Komen


Berita Berkaitan