Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

TIADA KES JANGKITAN LEPTOSPIROSIS DI TIGA DAERAH DI SABAH

kencing tikus

KOTA KINABALU, 6 Feb : Pengarah Hospital Beaufort Dr K. Sutharsan berkata setakat ini tiada kes jangkitan penyakit leptospirosis atau kencing tikus disahkan berlaku di daerah Membakut, Beaufort dan Sipitang yang terjejas banjir baru-baru ini.

Dr Sutharsan berkata lapan individu yang dimasukkan ke hospital itu sebelum ini cuma disyaki dijangkiti penyakit itu.

Sehubungan itu beliau menasihatkan penduduk di daerah berkenaan supaya tidak panik mengenai penyebaran berita kononnya penyakit leptospirosis dikesan di daerah berkenaan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat mengenai jangkitan penyakit itu.

“Berikutan penyebaran berita dan maklumat tidak tepat itu, termasuk kononnya penyakit itu boleh berjangkit melalui manusia, bilangan orang yang datang ke hospital untuk menjalani ujian darah bertambah meskipun mereka tidak mengalami sebarang simptom penyakit tersebut,” katanya kepada Bernama.

Dr Sutharsan berkata bagi menentukan seseorang itu menghidap leptospirosis, ujian Microscopic Agglutination Test (MAT) perlu dilakukan dan ia mengambil tempoh masa yang lama untuk mendapat keputusan.

Katanya untuk mendapatkan keputusan dalam tempoh yang singkat, pihak hospital akan menjalankan ujian leptospirosis ‘rapid test’ termasuk mengambil kira pemeriksaan fizikal, simptom dan tempoh yang dialami, risiko kepada air tercemar dengan najis haiwan, dan luka dibadan jika ia menggambarkan jangkitan kencing tikus.

Dr Sutharsan berkata masih ramai beranggapan kencing tikus hanya berpunca daripada tikus sedangkan peyakit berkenaan juga boleh tersebar melalui haiwan lain yang dijangkiti penyakit itu seperti anjing, rusa, arnab, landak, lembu, biri-biri, kucing, kambing, kuda dan mamalia laut.

Malah katanya masih ramai tidak tahu mengenai kemungkinan kemunculan penyakit itu terutamanya selepas banjir maka mangsa banjir di pusat pemindahan sebelum ini telah diberi penerangan mengenai penyakit itu termasuk aspek penjagaan diri semasa dan selepas banjir.

Manusia boleh dijangkiti sekiranya terdedah secara lansung dengan air termasuk mengambil makanan atau minuman yang tercemar dengan air kencing haiwan yang terjangkit penyakit itu atau melalui sentuhan luka pada kulit dan tempoh simptom bagi manusia hadir selepas empat hingga ke 14 hari.

“Individu yang dijangkiti penyakit ini akan mengalami simptom seperti  selesema iaitu demam, sejuk, sakit kepala yang kuat, sakit otot, muntah-muntah termasuk demam kuning, mata merah, sakit perut, cirit-birit dan keradangan.

“Antara langkah pencegahan yang perlu diambil bagi mengelak dijangkiti penyakit ini, termasuk tidak bermain air dan lopak terutamanya selepas banjir, mencuci tangan sebelum menyediakan makanan dan sebelum makan serta selepas ke tandas,” katanya.

Makanan juga perlu ditutup, menjaga kebersihan rumah dan persekitaran rumah, cuci dan balut sebarang luka yang terdapat pada anggota badan dengan sempurna dan segera mendapatkan rawatan jika mempunyai tanda-tanda menghidap penyakit itu.– BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan