Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Tiada halangan kemuka usul: Salleh

Datuk Seri Salleh Said. - foto Alex Mairin
Datuk Seri Salleh Said. – foto Alex Mairin

KOTA KINABALU – Sebarang usul yang dikemukakan oleh wakil-wakil rakyat untuk dibawa semasa Sidang Dewan Undangan Negeri pada bulan depan akan diteliti mengikut peraturan tertentu.

Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Salleh Said berkata, keputusan mengenainya akan dibuat setelah pihaknya meneliti usul-usul tersebut sebelum ia dibenarkan untuk dibahaskan.

“Jika ada apa-apa usul pun, ia ada peraturan tertentu dan saya belum melihat sebarang usul lagi. Sekiranya ada (usul) kita akan teliti baharulah keputusan akan dibuat. Semua wakil rakyat boleh menyerahkan usul masing-masing. Terpulang kepada Speaker untuk menentukannya.

“Walau bagaimanapun, setakat ini saya masih belum menerima apa-apa (usul) lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan taklimat bertajuk `Konflik Dalam Organisasi’ di Univerisiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.

Salleh berkata demikian sebagai mengulas cadangan DAP untuk mengemukakan usul terutama berkaitan is autonomi dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah akan datang. Menurutnya, perasmian Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah adalah pada 9 April depan.

Dalam pada itu, beliau berkata, penganjuran Forum Perjanjian Pembentukan Malaysia 1963 anjuran Kementerian Luar Negeri di Kompleks Dewan Kuliah Kedua, Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini, merupakan platform terbaik dalam membincangkan banyak perkara berkaitan kepentingan negeri ini.

Katanya, pendekatan seumpama itu amat baik kerana ia telah membincangkan banyak perkara yang ada kaitan dengan Perjanjian Malaysia dan yang paling penting ialah fahaman politik berjaya diketepikan dalam soal ini.

“Saya amat bersetuju dengan penganjuran forum itu di UMS baru-baru ini yang mana moderatornya sendiri adalah Menteri Luar Negara, Datuk Seri Anifah Aman bersama 12 panel jemputan terdiri daripada pelbagai latar belakang.

“Kita kena pastikan rundingan dapat dilakukan dan saya gembira apabila semua pihak bersetuju bahawa anasir-anasir yang mahu memisahkan Sabah dan Sarawak itu harus kita perangi,” ujarnya.

Salleh yakin, kerajaan Pusat sentiasa mengalu-alukan forum seperti itu kerana ia bertujuan baik dan berdasarkan penemuan daripada perjumpaan tersebut terdapat beberapa perkara yang perlu diambil tindakan dan susulan. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan