Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Tiada ‘Brexit’ Untuk Sabah, Jangan Ungkit Isu ‘Bangas’- UMNO Sabah

Jamawi Jaafar

KUALA LUMPUR,  6 Dis –  UMNO Sabah sama sekali tidak akan membiarkan mana-mana pihak cuba ‘brexit’ (keluarkan) negeri di bawah bayu itu dengan slogan ‘Sabah for Sabahan’ yang akhirnya akan menghancurkan Sabah sendiri.

Ketua Pemuda UMNO Tenom Jamawi Jaafar berkata ini kerana sebaik sahaja Sabah membentuk  sebahagian daripada Malaysia 54 tahun yang lalu, kedaulatan negeri itu sudah pun terjamin di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

Justeru, katanya, tiada keperluan negeri yang memiliki lebih 35 suku kaum itu untuk keluar dari Malaysia, hanya kerana terdapat sekumpulan individu dan pihak tertentu yang cuba membangkitkan pelbagai isu lapuk dan disebut \’bangas\’ (basi)  oleh kebanyakan rakyat Sabah.

“Ketika ini memang kita tidak nafikan wujud anasir dan dakyah secara halus dan terang-terangan yang dibawa golongan tertentu untuk menyemarakkan kebencian kepada kerajaan Persekutuan, sebab itu ia perlu dibanteras mengikut undang-undang kerana anasir ini boleh bergerak lebih laju dengan bantuan Internet,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Brexit merujuk kepada langkah rakyat Britain keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) melalui keputusan pungutan suara dengan andaian bahawa jika bersendirian, ekonomi Britain akan lebih kukuh dan stabil.

Malam tadi, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan perasmian ketiga-tiga sayap UMNO, memberi amaran kepada puak-puak tertentu di negeri itu yang cuba menjadi batu api dan penghasut bagi mengeluarkan Sabah dan Sarawak dari Malaysia.

Ahmad Zahid berkata penghasut sedemikian boleh dihukum dengan hukuman yang berat dan mereka tidak kebal undang-undang.

Jamawi yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkata antara isu ‘bangas’ yang sering dibangkitkan ialah royalti minyak untuk Sabah serta hasil bumi yang dibawa keluar dari negeri itu, kononnya digunakan untuk memajukan Semenanjung.

Ketua Wanita UMNO Sepanggar Datuk Jainab Ayid  berkata rakyat Sabah seharusnya mengambil iktibar daripada kehidupan etnik Rohingya yang terpaksa menjadi pelarian dan dibuang dari negara sendiri.

“Walaupun konteksnya berbeza tapi tidak mustahil rakyat Sabah juga boleh menjadi pelarian apabila sudah keluar dari negara ini,” katanya.

Jainab yang juga Anggota Exco Wanita UMNO Malaysia berkata Sabah di bawah pimpinan kerajaan Barisan Nasional dan UMNO sudah jauh lebih baik dan mencapai kemajuan infrastruktur dalam tempoh masa singkat.

Malah, katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ahmad Zahid merupakan dua pemimpin utama negara yang tidak pernah mengabaikan Sabah dan Sarawak apatah lagi hak kedua-dua negeri itu yang sudah terkandung dalam perlembagaan negara.

Senada dengan beliau ialah Ketua Wanita UMNO Sabah Datuk Armani Mahirudin yang berpendapat bahawa tindakan mahu mengeluarkan Sabah dari Malaysia sebagai ?cubaan bunuh diri dan kerja orang gila?.

“Kalau keluar (dari Malaysia), belum pun sampai sejam atau sehari, Sabah pasti hancur,” katanya dan menambah, UMNO Sabah tetap akan mempertahankan negeri itu dan akan turun padang berkhidmat untuk rakyat tanpa mengira bangsa.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan