Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

‘Tiada beza’

SEORANG budak memegang pelekat dalam kempen bagi menyelamatkan Chan dan Sukumaran daripada hukuman mati.
SEORANG budak memegang pelekat dalam kempen bagi menyelamatkan Chan dan Sukumaran daripada hukuman mati.

Jakarta: Dua warga Australia yang didapati bersalah cuba menyeludup lapan kilogram heroin keluar dari Bali pada 2005 tetap akan dilaksanakan hukuman mati walaupun sudah memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan itu.

Jurucakap Peguam Negara Indonesia Tony Spontana berkata, ia tidak mengubah apa-apa bagi Andrew Chan serta Myuran Sukumaran kerana perjanjian antara jabatan kerajaan dan mahkamah bererti permohonan semakan itu berkemungkinan besar akan ditolak.

“Secara lazimnya, semakan kehakiman tidak menghentikan proses hukuman mati. Apatah lagi permohonan untuk pengampunan daripada presiden sudah ditolak,” katanya.

Bagaimanapun, peguam bela Chan dan Myugran, Todung Mulya Lubis berkata, isu itu sewajarnya dibiarkan kepada mahkamah untuk diputuskan.

“Ia bukan lagi dalam bidang kuasa peguam negara. Hukuman tidak patut dilaksanakan selagi proses perundangan belum selesai,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mengusahakan supaya hukuman dua tertuduh itu diubah kepada penjara 20 tahun.

“Mereka banyak berubah sejak ditahan. Saya percaya mereka wajar diberi peluang kedua.

Chan dan Sukumaran antara kumpulan dikenali sebagai ‘Bali 9’ dan dijadualkan dihukum tembak dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Antara dokumen difailkan kepada Mahkamah Daerah Denpasar termasuk surat ditulis sendiri Chan dan Myuran dalam bahasa Indonesia, merayu pengampunan daripada presiden dan ketua hakim mahkamah agung.

Chan dalam suratnya mengaku sewajarnya dihukum penjara untuk tempoh lama.

“Memang saya bersalah, bukanlah saya tidak mengaku atau memperlekehkan kesilapan dilakukan. Cuma saya merayu supaya diberi peluang kedua untuk membuktikan saya sudah berubah,” katanya.

Myuran turut menyatakan kekesalannya.

“Saya menyesal dan malu kerana menconteng arang ke muka keluarga serta negara dengan perbuatan ini. Saya kini cuba menjadi manusia lebih berguna.

“Hakikatnya penjara ini mengajar saya supaya berubah,” katanya.

Sementara itu, bekas Menteri Luar Australia Bob Carr berkata kerajaan malah juga Perdana Menteri Tony Abbott dan Menteri Luar Julie Bishop sudah melakukan segala yang terdaya untuk menyelamatkan dua rakan itu.

Chan dan Myuran ditahan bersama tujuh yang lain pada 2005.

Hukuman mati dijangka dilakukan di pusat penahanan di Pulau Nusa Kambangan namun tarikhnya belum ditetapkan.-Agensi

01hmend_cropped.transformed

Komen


Berita Berkaitan