Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Tiada alasan projek pembangunan alami kelewatan

Musa Aman (tengah) diberikan taklimat mengenai projek PPR Kibabaig, Penampang.
Musa Aman (tengah) diberikan taklimat mengenai projek PPR Kibabaig, Penampang. – foto Ille Tugimin

KOTA KINABALU – Kontraktor yang dilantik wajib menyiapkan kesemua projek pembangunan negeri yang dirancang mengikut jadual serta menepati standard kualiti ditetapkan.

Langkah itu perlu bagi mengelak kelewatan dan kegagalan sesuatu projek itu yang akhirnya dikhuatiri mengakibatkan usaha kerajaan menyediakan kemudahan untuk rakyat tergendala disebabkan kerenah pihak kontraktor.

Menegaskan perkara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, tiada alasan kelewatan atau penundaan yang boleh diterima apatahlagi sekiranya peruntukan telah pun disalurkan bagi melaksanakan projek itu.

“Kita tidak boleh bertolak ansur dengan kes kelewatan projek kerana segalanya sudah ditetapkan dalam pelan yang dirancang dan inisiatifnya disediakan sendiri oleh kerajaan. Kesannya adalah pada rakyat yang sepatutnya menikmati manfaat daripada enam projek pembangunan telah dirancang kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN) di Kibabaig, Penampang, dekat sini.

Musa Aman (dua dari kanan) teliti mendengar penjelasan kontraktor PPR Kibabaig, Penampang, semasa mengadakan lawatan di situ. - foto Ille Tugimin
Musa Aman (dua dari kanan) teliti mendengar penjelasan kontraktor PPR Kibabaig, Penampang, semasa mengadakan lawatan di situ. – foto Ille Tugimin

Musa berkata, pihak berkuasa tempatan perlu bekerjasama rapat dengan kontraktor untuk menyelesaikan segala isu mahupun permasalahan timbul.Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke Tapak Menara DBKK dan Padang Merdeka, di sini.

PPR Kibabaig dibina sebanyak 775 unit dengan kos RM59 juta dan dijangka siap selewat-lewatnya Ogos tahun ini manakala ILMAN seluas 1.8 hektar bernilai RM30 juta dan dijangka siap Disember ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kota Kinabalu merupakan laluan utama ke Sabah, justeru tanggapan awal pelancong terhadap Sabah bermula dengan melihat keadaan ibu negeri ini sendiri.

“Tanggapan awal ini sangat penting. Aspek keselamatan, kebersihan dan keteraturan dalam bandaraya Kota Kinabalu perlu diberikan penekanan, selain landskapnya juga wajar diambil kira.” ujarnya.

Mengenai kewujudan beberapa bangunan komersial seperti pusat beli-belah di bandaraya Kota Kinabalu pada masa ini, Musa berkata, ia secara tidak langsung telah menimbulkan keadaan kesesakan jalan raya di sekitar ibu negeri.

Kontraktor ILMAN menunjukkan pelan projek bangunan itu kepada Musa Aman (dua dari kanan) semasa lawatan beliau ke tapak pembinaan itu. - foto Ille Tugimin
Kontraktor PPR Kibabaig menunjukkan pelan projek bangunan itu kepada Musa Aman (dua dari kanan) semasa lawatan beliau ke tapak pembinaan itu. – foto Ille Tugimin

“Saya telah mengarahkan sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi menyediakan pelan untuk mengatasi isu berkaitan pengangkutan awam dan kesesakan lalu lintas. Saya berharap pelan ini menampakkan hasilnya nanti,” ujarnya.

Selain memastikan Kota Kinabalu bersih dan selamat, Musa menjelaskan, kerajaan juga mengambil berat tentang menyediakan perumahan mampu milik bagi penduduk yang tinggal di bandar.

“Saya tahu dengan kenaikan harga hartanah, penduduk yang tinggal di bandar raya ini mendapati ia semakin sukar untuk mendapatkan rumah,” katanya.

Musa berkata, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan taklimat yang diberikan, namun menambah bahawa ada ruang untuk penambahbaikan.

“Saya gembira mendengar bahawa Penampang juga mendapat bahagian pembiayaan mereka bagi pembangunan infrastruktur,” jelasnya sambil menambah kerajaan memberi perhatian akan pembangunan rakyat tanpa mengira sama ada mereka tinggal di bandar atau di pinggir bandar. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan