Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,503

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Ti-M Gesa PM Tangani Ancaman Dalam Esscom Akibat Rasuah

9:29am 10/06/2014 Pak Roshan 27 views Nasional

rahsuah

KUALA LUMPUR: Transparency International Malaysia (TI-M) pada Isnin menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menangani isu integriti, rasuah dan kebocoran maklumat dalam kalangan kakitangan keselamatan dan pertahanan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

 

TI-M dalam satu kenyataan juga menggesa agar penyiasatan dijalankan secara telus dan perkembangan terkini hasil penyiasatan itu diumumkan kerana ancaman terhadap keselamatan negara merupakan perkara kepentingan awam.

 

Menurut kenyataan itu, TI-M mengambil perhatian serius dengan kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein baru-baru ini bahawa rasuah dan kebocoran maklumat merupakan antara punca pencerobohan berterusan di kawasan di bawah Esscom meliputi 1,400km.

 

“TI-M menyokong kenyataan Menteri Pertahanan berhubung keperluan mendesak untuk menangani kelemahan berkenaan selepas menyemak semula peranan dan fungsi Esscom untuk meningkatkan keselamatan maritim di kawasan pantai timur Sabah meliputi empat perspektif iaitu perisian, perkakasan, sumber manusia dan risikan.

 

“TI-M percaya tiada kompromi terhadap keselamatan negara, lebih-lebih lagi oleh sebarang bentuk rasuah. Semua agensi penguat kuasa di bawah Esscom perlu bekerjasama rapat dan bersama-sama memerangi bukan sahaja rasuah tetapi juga untuk melindungi dan mempertahankan kedaulatan negara terhadap sebarang pencerobohan,” katanya.

 

TI-M juga menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak segera dan menyiasat secara terperinci sebarang bukti dikemukakan oleh Hishammuddin dan Esscom berhubung amalan rasuah.

 

“TI-M seterusnya menggesa kelulusan segera bagi pemecatan kakitangan yang terlibat bagi membanteras amalan rasuah di peringkat awal,” menurut kenyataan itu.

 

Menurutnya sudah tiba masanya bagi Anggota Parlimen kerajaan dan pembangkang untuk memberi perhatian terhadap bajet pertahanan negara dan memperkemas prosedur operasi standard (SOP) bagi pemerolehan peralatan pertahanan.

 

“Bagi meningkatkan ketelusan dalam pembelian peralatan pertahanan, TI-M mencadangkan SOP Kementerian Pertahanan bagi pemerolehan peralatan dibuat secara tender terbuka,” menurutnya.

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan