Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

THE IRON GATOR BERLABUH DI KOTA KINABALU

Kapal Penyerang Amfibia Barisan Hadapan milik Amerika Syarikat, USS Essex (LHD-2) kelihatan berlabuh di perairan Kota Kinabalu, hari ini. Kapal dengan gelaran ‘The Iron Gator’ ini membawa pasukan unit ekspedisi marin ke-13 dan krew kapal untuk berkunjung ke Kota Kinabalu setelah selesai menjalani Eksesais CARAT 2018 bersama Angkata Tentera Malaysia selama 10 hari yang berakhir hari ini di Sabah. CARAT adalah Eksesais Gabungan Bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan Angkatan Tentera Amerika Syarikat (USF) dalam bentuk Field Training Exercise.

KOTA KINABALU: Kelibat kapal pengangkut Amerika Syarikat yang berlabuh di tengah-tengah Teluk Likas berhampiran dengan pantai menarik minat orang ramai yang lalu-lalang di jalan Tanjung Lipat tengah hari tadi.

Seorang penjawat awam, Ramzan Jailani, 38 berkata beliau sedang dalam perjalanan untuk mengambil anaknya dari sekolah namun merasa hairan melihat deretan panjang kenderaan di tepi jalan sedangkan masa itu masih masa bekerja.

“Tanpa membuang masa saya juga memberhentikan kereta dan terkejut sebaik melihat sebuah kapal pengangkut besar sedang berlabuh dan segera merakamkan gambar,” katanya.

“Beberapa jet pejuang dan pesawat kelihatan dengan jelas diatas dek kapal berkenaan macam dalam filem ‘Transformers’,” katanya ketika ditemui sambil menambah kapal seperti ini hanya pernah dilihat dari filem aksi terbitan Hollywood.

Sementara itu seorang pelancong, Alfredo Manning Jr, 45, berkata dia amat teruja melihat sebuah kapal tentera dari negaranya berada di sini kebetulan ketika dia melancong ke Sabah.

“Bagi saya yang membesar di San Diego, California, pemandangan sebegini tidak asing bagi saya. Tetapi melihat kehadirannya di sini membuatkan saya berasa teruja dan bangga sebagai seorang rakyat Amerika Syarikat,” katanya.

Kelihatan sebuah feri sedang merapati The Iron Gator untuk menghantar krew kapal selepas lawatan singkat ke bandaraya Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Kapal Kelas Amfibia Pelbagai Guna, USS Essex (LHD-2) ini merupakan salah satu daripada empat kelas yang sama dimiliki Tentera Amerika Syarikat.

Kapal ini juga mempunyai landasan untuk operasi penerbangan pesawat pejuang ringan seperti F-35B dan AV-8B Harrier dan beberapa pesawat tiltrotor MV-22 Osprey dan helikopter.

Difahamkan kapal yang digelar  “The Iron Gator” ini berlabuh di perairan Kota Kinabalu untuk membawa pasukan unit ekspedisi marin ke-13 dan krew kapal mengadakan lawatan singkat setelah selesai menjalani Eksesais CARAT 2018.

Eksesais CARAT 2018 dijalankan bersama Angkata Tentera Malaysia selama 10 hari dan berakhir di Sabah hari ini.

CARAT adalah Eksesais Gabungan Bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan Angkatan Tentera Amerika Syarikat (USF) dalam bentuk latihan lapangan.

Latihan bersama Tentera Amerika Syarikat dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah digerakkan bersama sejak tahun 1995 lagi. – SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan