Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,666

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Tertuduh Nafi Berkomunikasi Dengan Pemimpin Kes Pencerobohan Lahad Datu

8:26pm 25/02/2016 Pak Roshan 264 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan
gambar fail

gambar fail

KOTA KINABALU : Seorang tertuduh dalam kes pencerobohan Lahad Datu menafikan ada berkomunikasi dengan pemimpin kumpulan bersenjata yang mencerobohi Kampung Tanduo di Lahad Datu kira-kira tiga tahun lepas.

Basil Samiul, 35, warga Filipina, berkata beliau tidak tahu siapa pemimpin itu, Datu Agbimuddin Kiram, dan tidak tahu tentang nombor telefon 019-7569906 yang didakwa digunakan oleh tertuduh dalam perbualan itu.

“Nombor telefon saya 012-6418816. Saya beli nombor itu di sebuah kedai di Semporna pada 2010 bila saya datang ke Sabah,” kata tertuduh itu yang memberi keterangan dalam bahasa Suluk dan diterjemahkan oleh jurubahasa mahkamah.

Basil membela diri terhadap pertuduhan mendapatkan atau memberi sokongan kepada sebuah kumpulan pengganas, dan memilih untuk memberi keterangan dari dalam kandang saksi.

Tertuduh juga menafikan bahawa individu dikenali sebagai ‘Basil’ dalam transkrip komunikasi yang dipintas itu bukan dirinya.

Kepada soalan peguam Majnah Abdillah, katanya dia memiliki telefon bimbit Nokia warna merah yang tidak pernah dikemukakan di mahkamah sepanjang perbicaraan kes, walaupun dirampas oleh pegawai polis yang menahannya.

Katanya dia mendapat tahu daripada keterangan pegawai polis di mahkamah semasa perbicaraan bahawa telefon bimbit itu telah diserahkan kepada isterinya.

Basil berkata pada hari dia ditahan pada 13 Mac, 2013, dia dan keluarganya mahu pulang ke rumah mereka di Kampung Sejati 2 di Semporna selepas bertandang ke rumah sepupunya di Kampung Lihak-Lihak, Semporna.

Tertuduh memberitahu mahkamah yang dia sukar mendapatkan pengangkutan kerana dia dan keluarganya ialah pendatang asing tanpa izin dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Katanya dia bertemu seorang lelaki di Lahad Datu yang dapat menyediakan pengangkutan kepada dia dan keluarganya dan mereka menaiki Perodua Viva dipandu lelaki itu yang datang menjemput mereka di satu simpang di Kampung Lihak-Lihak.

Sebuah kereta Perodua MyVi, dipandu abang lelaki itu, mengekori mereka di belakang, katanya.

“Selepas menjemput keluarga saya di simpang itu, polis menahan kami dan kami ditahan kira-kira satu batu selepas simpang itu,” katanya.

Semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, Basil berkata dia tidak bersetuju bahawa kampungnya Siasi, Sibangkat di Filipina terletak di bawah pemerintahan Kesultanan Sulu.

“Saya tidak tahu tentang mana-mana Sultan Sulu. Apa yang saya tahu, kampung saya di bawah pemerintahan kerajaan Filipina,” katanya.

Tertuduh, yang tidak pernah belajar membaca dan menulis, berkata dia dan keluarganya datang secara haram ke Sabah kerana kehidupannya di kampung adalah susah.

Tertuduh memberitahu mahkamah yang dia tahu Sabah diperintah oleh kerajaan Malaysia dan walaupun dia sedar yang dia tinggal di sini secara haram, tidak bermakna yang dia tidak menghormati undang-undang imigresen Malaysia.

“Saya hanya tidak berpeluang untuk mendapatkan dokumen perjalanan di Filipina kerana saya miskin,” kata Basil yang menyara hidup dengan menjual ikan, buah-buahan dan beg plastik di pasar Semporna.

Pada 2 Mac, 2013, pada malam berlaku pertempuran di Kampung Simunul di Semporna, katanya dia tidak berjualan di pasar dan hanya duduk di rumah kerana keadaan di Semporna ketika itu sudah huru-hara.

Sebanyak 13 warga Filipina dan seorang lelaki tempatan membela diri di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah atas pelbagai kesalahan yang didakwa dilakukan antara 12 Feb dan 10 April, 2013.

Sesetengah daripada mereka menghadapi satu hingga beberapa tuduhan menganggotai sebuah kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Sebahagian daripada mereka menghadapi tuduhan secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu menganggotai sebuah kumpulan pengganas atau berusaha mendapatkan atau memberi sokongan kepada sebuah kumpulan pengganas.

Perbicaraan pembelaan diri bersambung esok.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan